Soal-Jawab Mengenai Kewangan Islam
Saturday, February 28th, 2009Berikut jawaban saya kepada Mat Takbir yang mencetuskan beberapa persoalan mengenai kewangan Islam. Saya mengalu2kan persoalan-persoalan daripada saudara-saudari pengunjung.
Mat Takbir,
Saya akan cuba menjawab persoalan2 yang dibangkitkan mengikut sedikit ilmu yang ada pada saya:
1. Tidak benar jika tanggapan mengatakan bahawa instrumen syariah yang digunapakai dalam sistem kewangan Islam negara agak longgar. Semuanya berpandukan kepada kontrak2 yang sah dari segi syarak dan menepati prinsip syariah. Cuma terdapat beberapa pertimbangan syarak yang perlu dibuat bagi mengelakkan kemudaratan kepada orang ramai.
Sebagai contoh, dalam prinsip muamalah Islam, jika berlaku kelewatan pelanggan melunaskan pembayaran, bank tidak boleh mengenakan sebarang penalti atau faedah (compounded interest) sebagaimana bank konvensional. Walau bagaimanapun, ulamak tempatan dan antarabangsa membenarkan ‘gharamah’ atau penalti dan ‘taawidh’ atau compensation yang minima dikenakan dengan syarat ia tidak boleh bersifat ‘compounded’ (penambahan faedah berterusan berasaskan harga pokok) dan segala duit yang diperolehi daripada penalti ini hendaklah disalurkan kepada kebajikan dan tidak boleh diguna oleh bank.
Kenapa ulamak membenarkannya kerana realitinya umat Islam sendiri tidak ‘Islamik’. Ketika Bank Islam mula2 beroperasi sekitar 1983, ramai yang ambil kesempatan atas kekangan bank yang tidak boleh mengenakan penalti. Atas faktor inilah untuk memastikan keadilan dan mengelakkan kemudaratan berasaskan prinsip usul-fiqh ‘daf’u darar’, ulamak membenarkan dengan syarat2 seperti diperjelaskan.
Ini salah satu contoh bagaimana dari segi operasi banyak pertimbangan syarak yang perlu dibuat mengambil kira ‘maslahah’ atau kepentingan umum terjaga.
2. Tidak baik menuduh ulamak Malaysia mengambil pendekatan ‘tasahul’ atau mempermudahkan secara berlebihan. Setiap fatwa yang dikeluarkan adalah berasaskan syura yang berbincang dan membuat kajian secara terperinci. Tidak dinafikan bahawa ada produk2 syariah yang diguna-pakai ketika ini agak kontroversi kerana tidak dipersetujui oleh majoriti ulamak muktabar seperti penggunaan bai al-`inah dalam produk2 perumahan, pembiayaan peribadi dsbnya. Pertimbangan pakar-pakar syariah pada ketika membenarkan penggunaan produk ini hanyalah bersifat sementara sehingga terdapat alternatif lain. Sebab itulah hari ini banyak bank yang sudah memulakan usaha memperkenalkan produk2 baru yang tidak kontroversi menggantikan `inah ini.
Saya sendiri di Affin Bank mengepalai usaha memperkenalkan produk-produk baru yang patuh syariah menggantikan produk2 kontroversi ini. Namun usaha ini dibuat secara berperingkat berasaskan prinsip ‘tadarruj’ bagi mengelakkan semua pihak daripada mengalami kemudaratan.
3. Fakta yang ingin diperbetulkan disini ialah bukannya Anwar yang memperkenalkan perbankan Islam. Perbankan Islam mula diperkenalkan pada tahun 1983 yang diusahakan oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir. Sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh beliau dan Menteri Kewangan Tengku Razaleigh telah dibentuk sebelum 1983 lagi iaitu selepas satu Sidang OIC di Jeddah yang melibatkan Menteri2 Kewangan Negara Islam sekitar 1979. Dalam persidangan ekonomi Islam yang pertama itulah tercetusnya idea menggerakkan sistem perbankan Islam yang bebas riba. Namun cuma 4 negara yang mengambil tindakan proaktif utk memperkenalkannya termasuk Malaysia, Iran, Sudan dan Pakistan. Ketika itu Anwar belumpun lagi terlibat dalam UMNO, jadi bagaimana nak dikatakan beliau yang mempelopori idea tersebut.
Peringkat awal hanya Bank Islam dibernarkan beroperasi selepas Akta Perbankan Islam 1983 diluluskan oleh Parlimen (Anwar baru menang bertanding dan menjawat jawatan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri). 10 tahun selepas itu kerajaan memperkenalkan pula SPTF (Skim Perbankan Tanpa Faedah) yang kemudiannya ditukar nama kepada Skim Perbankan Islam. SPI atau SPTF ini membenarkan bank2 konvensional beroperasi dengan membuka ‘windows’ atau perkhidmatan kewangan Islam seperti Bank Islam. Hukum membenarkan bank2 konvensional memperkenalkan produk2 Islam ini bukan pandangan minoriti bahkan diterima dan diguna pakai oleh majoriti ulamak antarabangsa.
Malah banyak negara-negara Islam selepas itu menggambil model Malaysia dalam operasi perbankan Islam sehingga hari ini.
Wallahuallam