Archive for January, 2009

UMNO Perlu BERUBAH Atau DIUBAH!

Monday, January 19th, 2009

Keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu sememangnya mengejutkan. Walaupun rata-rata memberikan gambaran bahawa keputusannya sudah terjangka sejak daripada awal, namun hakikatnya tidak begitu. Memanglah cukup mudah penganalisis membuat telahan begitu apabila keputusan sudah keluar. Tapi kalau disorot perbincangan2 yang dibuat samaada dalam media utama mahupun alternatif sebelum hari pemilihan semuanya memberikan gambaran seimbang bahawa pertembungan UMNO-PAS di Kuala Terengganu itu adalah sengit. Tidak ada yang berani menjangkakan secara tuntas keputusan yang bakal dikecap oleh mana2 pihak.

Secara teori berasaskan formula kelaziman memang UMNO atau BN jarang tewas dalam pilihanraya kecil. Ini kerana BN mempunyai banyak kelebihan apabila berhadapan dengan parti lawan dalam mana2 pilihanraya kecil. Namun formula ini nampaknya sudah tidak boleh diambil kira dalam suasana politik semasa hari ini yang semakin berubah.

Rakyat semakin matang dalam membuat pemilihan. Mereka tidak lagi bergantung kepada ‘gula-gula’ yang ditabur ketika musim pilihanraya. Penilaian mereka terhadap pemimpin juga tidak lagi berasaskan momokan nostalgia sejarah parti mahupun retorik-retorik yang dipersembahkan dalam bentuk pelbagai terutama dalam musim2 pilihanraya.

Trend semasa menunjukkan rakyat mahukan parti yang bukan sahaja ikhlas tetapi nampak ikhlas dalam memperjuangkan hak dan masa depan mereka. Mereka mahukan pemimpin yang bukan sahaja bersih tetapi nampak bersih dalam memastikan amanah rakyat terbela. Mereka juga mendambakan pemimpin yang bukan sahaja jujur tetapi nampak jujur dalam perawakan mereka.

Persoalannya apakah UMNO kini masih memiliki pemimpin2 yang dapat menyantuni hati nurani rakyat? Apakah UMNO bersedia berubah mengikut kehendak rakyat terbanyak? Atau apakah UMNO hanya mengambil kira kehendak segelintir ahli dan pemimpin2 berkepentingan yang hanya memperkira soal untung rugi ‘politik perut’ masing-masing.

Berbalik kepada isu pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini, bagi mereka yang berada di lapangan, cakap2 bahawa UMNO akan kalah sudah diperdendangkan sejak dari awal nama Dato’ Wan Farid diumumkan sebagai calon. Yang peliknya soksek2 sebegini bukan datangnya daripada PAS tapi dikalangan orang UMNO sendiri. Malah Tun Dr Mahathir sendiri turut menjangkakan kepayahan untuk UMNO menang dalam pilihanraya kecil tersebut kerana faktor calon yang dilabelkan sebagai ‘orang Pak Lah’.

Antara isu terbesar yang dibangkitkan ialah faktor peribadi Dato Wan Farid dan keterlibatan beliau dalam pakatan menjatuhkan Allahyarham Dato Razali Ismail dalam pemilihan bahagian hingga tewas sebagai Naib Ketua Bahagian. Sebab itulah UMNO bagaikan dibayangi fobia yang amat sangat kepada dosanya terhadap bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu, Razali Ismail bila mana BN seperti sudah kehabisan bahasa memuji dan memuja Razali. Tidak habis-habis BN terus memuji Razali di sepanjang kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Hinggakan Datuk Seri Najib sendiri mengumumkan penukaran nama sebuah sekolah di Kuala Terengganu dengan nama Razali.

Memang Allahyarham Razali seorang yang berkeperibadian mulia. Sebagai orang baru dalam parti yang diterjunkan sebagai calon ‘parachute’ dalam pilihanraya umum lalu, beliau dilihat calon bersih dan berintegriti. Namun beliau tewas dalam pemilihan parti kerana mempertahankan prinsip yang dipegangnya untuk tidak terlibat dengan politik wang dan pada masa yang sama menjadi mangsa kerakusan kepimpinan bahagian yang melihatnya sebagai ancaman.

Cerita Allahyarham Razali Ismail ini sebenarnya dendangan yang biasa didengari dalam realiti UMNO hari ini. Mereka yang berprinsip dan cuba mempertahankan prinsip terutamanya untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk rasuah politik pastinya akan terpinggir atau dipinggirkan oleh mafia2 bahagian yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Biasanya mafia2 ini diketuai sendiri oleh Ketua Bahagian yang takut jawatannya dirampas oleh mereka yang baru dan dilihat berpotensi menerajui parti pada masa hadapan. Fobia ini akan bertambah jika calon-calon baru ini adalah mereka berpelajaran dan dilihat berpengaruh bukan sahaja dikalangan rakyat malah diperingkat atasan. Akhirnya mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan pucuk-pucuk baru ini tidak akan berputik.

Budaya cantas-mencantas dan rasuah dalam politik UMNO kini tampak semakin menjadi-jadi terutamanya menjelang pemilihan parti yang bakal diadakan bulan Mac nanti. Cerita-cerita yang berlegar dikalangan perwakilan dan ahli-ahli UMNO kini semacam memberi kelebihan kepada mereka yang berduit dan bersedia membelanjakan duit dalam pemilihan parti ini.

Pemilihan bukan lagi bersandarkan kewibawaan dan ketrampilan calon tetapi kepada berapa wang yang sanggup dibelanjakan kepada perwakilan. Jawatan parti juga bukan lagi dilihat sebagai suatu amanah dan wahana menabur budi tetapi lebih kepada bentuk kemasyhuran dan wahana memenuhi serakah nafsu yang tidak pernah mengenal erti kepuasan.

Sebagaimana rakyat Terengganu menzahirkan kejelikan terhadap UMNO yang dilihat sebagai parti yang korup melalui undi mereka baru-baru ini, demikian jugalah natijah yang akan berlaku dalam pilihanraya umum akan datang kiranya UMNO tidak mahu berubah.

Jika inilah yang benar-benar berlaku dalam pemilihan parti akan datang, maka UMNO harus bersedia untuk ditalkinkan dalam pilihanraya umum akan datang.