Archive for December, 2008

Hudud Tidak Wajar Diperdagangkan

Friday, December 26th, 2008

Agak lama saya tidak mengemas-kini blog ini.  Sebenarnya sejak kebelakangan ini agak sibuk dengan tanggungjawab asasi dalam urusan kajian dan membantu institusi2 kewangan negara dalam melaksanakan prinsip syariah dalam bidang perbankan dan kewangan. Walaubagaimanapun, dalam kesibukan tugas2 harian ini, terasa terpanggil pula untuk melontarkan pandangan mengenai isu lama yang kembali diperhangatkan.

Saya seperti ramai di luar sana amat dukacita apabila Hukum Hudud seringkali diperdagangkan bagaikan bahan komoditi yang terdedah kepada suasana pasaran. Ada kalanya naik apabila permintaan di pasaran meningkat. Ada ketikanya pula merudum apabila permintaan menurun. Demikian jugalah dengan isu hudud ini. Mungkin juga isu hudud ini kembali hangat lantaran suasana ‘pasaran politik’ yang kembali aktif terutamanya menjelang pilihanraya kecil Parlimen  Kuala Terengganu.

Dua malam lepas ketika menikmati jamuan makan malam sempena Persidangan Dialog Antarabangsa Kewangan Islam, beberapa sahabat termasuklah bekas mufti dan profesor syariah turut melahirkan rasa kecewa dengan fenomena ini.  Mereka turut berkongsi kekesalan saya mengenai hal ini. Malah fenomena ini bukan hanya unik di Malaysia, malah mengikut seorang ulamak antarabangsa yang menghadiri majlis dialog tersebut, hukum hudud sudah semacam kewajiban sebagai bahan kempen terpenting bagi parti2 politik Islam di kebanyakan negara Islam terutamanya apabila hendak membezakan parti mereka dengan parti2 lain yang disifatkan sekular.

Bagi penulis, walauapapun tujuan isu hukum hudud diperdendangkan kini, kita selaku umat Islam seharusnya berasa dukacita kerana hukum Allah ini buat kesekian kalinya seolah-olah dipermain-mainkan dan diperdagangkan. Sekiranya parti-parti politik Islam benar-benar ikhlas untuk mempertahan dan memperjuangkan hukum Allah, mereka seharusnya duduk semeja untuk bermuzakarah sesama mereka untuk mencari titik persetujuan bagaimana kaedah atau pendekatan terbaik untuk melaksanakan hukum Syariah (tidak hanya terbatas kepada hukum hudud sahaja). Ini tidak masing-masing saling menyalahkan antara satu sama lain yang akhirnya mencetuskan stigma dan salah faham dikalangan bukan Islam terhadap hukum Allah. Seolah-olah hukum Allah ini hanya terbatas kepada soal-soal menghukum.

Hudud hanyalah sebahagian daripada hukum syariah yang berkait rapat dengan hal-ehwah jenayah. Secara umum, ulamak membahagikan syariah Allah kepada 3 aspek utama iaitu: Iktiqadiah (soal2 berkaitan dengan aqidah), Akhlaqiah (soal2 berkaitan dengan akhlak, moral dan etika) dan ‘Amaliyah. ‘Amaliah terbahagi pula kepada ibadah (hubungan diantara hamba dengan Tuhannya) dan muamalah (hubungan hamba sesama mereka). Aspek muamalah ini pula terbahagi kepada pelbagai cabang antaranya Ahwal Syaksiah (aspek kekeluargaan), Muamalah Maliah (pentadbiran ekonomi dan harta termasuk kewangan ISlam), Siyasah Syariiyyah (pentadbiran politik), Jinayah (hudud dan takzir) dan sebagainya.

Apa yang ingin penulis tekankan di sini ialah Syariah Allah merangkumi banyak perkara bukannya hanya tertumpu kepada hudud semata2. Di sinilah kadangkala penulis berasa sangsi mengenai keikhlasan pihak-pihak tertentu dalam memperjuangkan hukum hudud seolah2 ia merupakan keutamaan dalam pensyariatan hukum Allah. Kenapa tidak ditekankan aspek2 lain dalam Syariah yang lebih penting kalaupun tidak sama penting dengan Hudud ini.

Janganlah kerana kegilaan kepada kuasa kita sanggup memperjudikan hukum Allah. Janganlah kerana rakus berparti kita sanggup memperalatkan agama Allah. Hudud adalah hak Allah yang wajib kita semua pertahankan. Cuma dalam konteks perlaksanaannya sahaja memerlukan kebijaksanaan dari segi pendekatan merealisasikannya agar ia tidak menjadi fitnah dan tidak sekali-kali melanggari matlamat asas syariah (maqasid as-syariah) sebagaimana yang digariskan Allah.