Archive for October, 2008

Wajarkah 30% Ekuiti Orang Melayu Dihapuskan?

Wednesday, October 29th, 2008

Kenyataan Naib Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai yang mahu syarat 30% Ekuiti Orang Melayu dihapuskan telah mengundang polemik baru dalam masyarakat kita. Saya pernah beberapa kali menyingkap isu ini dalam ruangan saya di Mingguan Malaysia. Untuk manfaat semua saya titipkan salah satu artikel saya berkenaan isu ini. Mungkin rakan2 pengujung ada pandangan tersendiri untuk dikongsikan bersama.

Dasar afirmatif selaras keadilan Islam

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

SEMENJAK berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, semakin ramai ahli politik yang mula menyuarakan pandangan untuk memansuhkan dasar-dasar kerajaan bersifat afirmatif terutamanya Dasar Ekonomi Baru (DEB). Gambaran yang sering dicorakkan seolah-olah DEB merupakan satu dasar zalim yang menafikan hak kesamarataan setiap warga Malaysia dari pelbagai kaum.

Ternyata dasar afirmatif seperti DEB merupakan satu dasar yang memberi sedikit keistimewaan kepada kaum peribumi dengan menyediakan peluang dan ruang kepada mereka untuk menyertai sektor ekonomi secara lebih efektif. Namun, DEB tidak sesekali menyampingkan kaum-kaum lain untuk turut terlibat aktif dan berkongsi kekayaan ekonomi negara.

Matlamat DEB hanyalah untuk mengurangkan jurang ekonomi di kalangan masyarakat terutamanya di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Hakikat yang harus kita sedari, kesan peninggalan penjajah British yang menggunakan dasar pecah dan perintah dalam sistem pentadbirannya telah mengakibatkan status sosial dan ekonomi masyarakat daripada pelbagai kaum menjadi tidak seimbang.

Status

Jurang ekonomi dan status sosial yang begitu melebar di antara masyarakat peribumi berbanding kaum pendatang yang dibawa masuk oleh Inggeris adalah manifestasi sikap penjajah yang berusaha merenggangkan hubungan, merungkai persefahaman dan memecah perpaduan antara kaum.

Sebab itulah selepas merdeka, walaupun pembentukan persefahaman melalui apa yang dinamakan kontrak sosial yang menjamin beberapa hak dan keistimewaan bumiputera dan bukan bumiputera termeterai, isu perpaduan masih menjadi topik yang belum benar-benar mampu dijiwai secara tuntas. Malah pintu prejudis dan perasaan tidak puas hati sering menjadi faktor pencetus kerenggangan hubungan antara kaum.

Peristiwa 13 Mei 1969 umpamanya, telah melakar titik hitam dalam lipatan sejarah negara apabila perasaan tidak puas hati dan prejudis sesama rakyat dimanifestasikan dalam bentuk pergaduhan berdarah sehingga negara terpaksa diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Parlimen digantung buat beberapa ketika.

Selepas diselidiki, penyebab utama tercetusnya tragedi ini ialah perasaan prejudis dan tidak puas hati yang membuak-buak di antara kaum lantaran ketidakseimbangan yang ketara dalam ekonomi dan status sosial. Sebab itulah munculnya Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Bahasa dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadi tindakan afirmatif kerajaan bagi menzahirkan perpaduan negara yang sejati.

Dari perspektif Islam, dasar-dasar afirmatif seperti ini merupakan sebahagian daripada tuntutan siyasah syariyyah yang memberikan keluasan kepada pimpinan untuk menggunakan kebijaksanaan dalam mentadbir urusan rakyat secara berkesan. Yang penting prinsip keadilan harus sentiasa dijunjung manakala keamanan dan kestabilan hendaklah dipertahankan.

Jika dikaji sejarah, Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menggunakan dasar afirmatif iaitu memberikan keistimewaan kepada golongan kurang bernasib baik bagi mengurangkan jurang ekonomi antara kaum. Umpamanya dalam peristiwa pembahagian harta fai’ yang dirampas daripada kaum Yahudi Bani Nadhir.

Rasulullah menggunakan kebijaksanaan politik dengan membahagikan harta tersebut kepada kaum Muhajirin dan bukan kepada kaum Ansar kecuali kepada dua orang di antara mereka yang miskin iaitu Sahal ibn Hanif dan Abu Dajanah. Selaku ketua negara, baginda membuat percaturan sebegitu demi menegakkan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat Madinah.

Rampasan

Nabi s.a.w. telah menjadikan harta rampasan (fai’) tersebut sebagai satu peluang untuk bertindak secara afirmatif bagi meningkatkan taraf ekonomi kaum Muhajirin dan merapatkan jurang perbezaan antara mereka dengan saudara-saudara mereka dari kalangan Ansar. Tujuannya bagi memastikan keadilan dan kestabilan mampu dikecap dalam suasana Madinah yang dilatari dengan struktur masyarakat dari pelbagai kaum dan kabilah.

Peristiwa ini kemudiannya dinukilkan Allah dalam al-Quran: Apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk bandar maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu sahaja (Al-Hashr:7).

Demikianlah, dasar afirmatif yang pada hakikatnya memenuhi aspirasi keadilan dalam Islam. Apa yang pasti prinsip keadilan bukanlah bermakna semua orang harus diperlakukan sama-rata. Sebaliknya kezaliman pula yang akan menjelma apabila rakyat yang berlainan taraf sosial dan ekonomi diperlakukan secara sama.

Sebab itulah keadilan yang hakiki wajar mengambil kira pelbagai faktor termasuk latar situasi dan realiti setiap orang sebelum melaksanakan sesuatu tindakan demi menjamin kelangsungan kebaikan dan kesejahteraan. Walau bagaimanapun penilaian dan proses pembaikan harus sentiasa dilakukan agar setiap dasar yang dilaksanakan tidak pula disalahgunakan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Life as A Politician.. A Wife’s Perspective (Part 2)

Friday, October 24th, 2008

(petikan daripada laman isteri tercinta- sorry dear for not asking your permission!)

In one of our conversations, abang said, “I love what I’m doing now, educating young generations, writing articles, presenting in conferences, meeting intellectual people. I feel comfortable & safe. In academic esp. in IIUM & KENMS, the surrounding is very peaceful, many procedure are transparent and we are surrounded by many honest persons, no jeolousy, no backstabing, no individualism etc. In personal life, we have all basic necessities, alhamdulillah. Our income are not big but sufficient for us and we are very happy & satisfied with what we are having now. This is all ni’mat from Allah, alhamdulillah.. But, we should not be very complacent and selfish, for all these gifts from Allah come with an obligation & responsibility. We should show our thanks (syukur) to Allah and return His blessings by contributing to others in need. One of the potential channels of contribution maybe in politics, if so is destined for us…”

“But somehow.. in politics people may likely look down at you, may misjudge your intention, may question your honesty, may label you with many unthinkable prejudices.. and also surrounded by many kinds of people whose heart & thought cannot be predicted. You must have an ‘iron’ heart to bear all these negative things… yet.. the satisfaction for working, educating, fighting and most importantly doing dakwah to these people are beyond words..”

Hearing these words really made me became speechless. Yes, it is true.. Allah has given bounties to our family in many ways, what else we should ask for. I will be very selfish if I choose to live for my own sake & benefit. For all these years, Allah had made ease to both of us in many things, alhamdulillah…

To read more, visit Dr Irwani’s blog

Adakah Islam Menghalalkan Cara Demi Mencapai Matlamat?

Friday, October 17th, 2008

Semalam saya sempat pulang semalaman ke Kelantan menghadiri program aqiqah dan jamuan makan bersama-sama dengan masyarakat kampung Pok Keral, Tumpat. Lepas pejabat semalam, saya mengambil flight pukul 6.30 petang dan kembali semula pagi ini pukul 8 pagi untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Syariah Affin Islamic Bank. Dalam ERL dan kapal terbang sempatlah meneliti dua volume product manual mengenai ’Islamic Hire Purchase’ yang saya minta pihak bank sediakan untuk proses penilaian secara komprehensif sejauh mana amalan bank mematuhi prinsip Syariah.

Semalam di Kota Bharu sempat bertemu dengan penyokong-penyokong saya yang masih bersemangat walaupun tidak hilang lagi rasa kecewa terhadap kekalahan saya tempoh hari. Namun sepanjang tempoh bersama mereka waktu musim berkempen selama 7 bulan lalu, saya sentiasa memperingatkan bahawa perjuangan yang ditempuhi cukup berliku dan memerlukan kesabaran. Apatah lagi dalam keadaan melawan arus dengan menggunakan pendekatan dakwah dan tidak sesekali berkompromi dengan rasuah politik. Justeru soal menang atau kalah harus diserahkan sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita dalam perjuangan ini.

Cuma yang menarik untuk dikongsikan dengan sahabat2 pengunjung, ketika sedang asyik berbual dengan rakan-rakan, datang hamba Allah yang merupakan adik kepada YB yang menang atas tiket parti yang dipinjamnya. Beliau tidak putus2 melahirkan kekecewaanya atas kekalahan saya. Baginya kekalahan saya hanya kerana keengganan saya untuk bermain duit dan merasuah perwakilan. Memang sebelum inipun beliau berkali-kali menegaskan kepada saya kalau hendak menang dalam UMNO kena main duit. Selaku orang lama dalam UMNO,beliau pernah menasihatkan saya “Kalau nak buat perubahan dalam UMNO kena menang dulu. Dan untuk menang dalam umno ni tak boleh tidak kena guna duit. Kalau lawan bagi RM100, kita kena bagi RM150. Dah menang barulah buat perubahan”.

Terngiang-ngiang lagi kata-kata tersebut di pemikiran saya. Malah itu bukanlah kali pertama saya mendengar ungkapan sedemikian. Waktu di zaman pelajar dulu, pernah saya mengeluh kepada pimpinan-pimpinan tertinggi jemaah mengenai perlakuan segelintir bekas-bekas pimpinan yang terlibat dalam parti yang turut bergelumang dengan budaya rasuah politik. Pada waktu itu lagi jawapan2 yang sering diberikan “Takpalah sheikh, sekarang terpaksa ikut arus dulu, nanti bila dah ada kuasa kita ubahlah”.

Pemikiran sebeginilah yang masih menjadi pegangan sebahagian besar politikus2 yang bukan sahaja dikalangan yang jahil agama bahkan orang alim yang berjuang atas nama Islam juga tidak terlepas daripada budaya politik Machivelli ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ ini.

Pernah saya berbincang dengan sahabat saya Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yg ketika ini melanjutkan pelajarannya diluar negara. Beliau kata kepada saya ”Anta jangan terkejut dikalangan ulamak PAS pun ada yang mengfatwakan boleh menggunakan kaedah ini seperti memberi duit, mengutuk dsbnya atas pertimbangan untuk menang pilihanraya dan berkuasa”. Beliau bagaimanapun berkongsi pendirian dengan saya tidak merestui perbuatan sebegini. Mungkin atas faktor itu jugalah dia semacam dipinggirkan daripada arus perdana PAS. Saya sentiasa menasihati beliau supaya dia kekal menjadi ulamak yang tidak dilihat cenderung kepada mana2 parti. Dengan kecerdasan pemikiran dan kekuatan ilmunya, lebih wajar dia kekal ‘non-partisan’ dan menjadi ulamak milik umat terutamanya dalam masyarakat kita yg masih tidak dapat menerima perbezaan pendirian terutamanya dalam soal parti politik. 

Mungkin para pengunjung mempunyai pandangan mengenai isu ini. Apakah Islam memperakui pendekatan atau ideologi ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ ini? Apakah dapat diterima kata2 yang mengganggap bahawa tidak ada salahnya kita terjebak dengan segala penyimpangan demi kuasa kemudian barulah kita lakukan perubahan?

Perjuangan Belum Selesai

Wednesday, October 15th, 2008

Terima kasih kepada semua pengunjung yang memberikan komentar berkenaan dengan kekalahan saya di Tumpat. Saya membaca semua kritikan, kutukan dan nasihat dengan rasa rendah diri dan menerima semuanya dengan hati terbuka. Sekurang-kurangnya saya mengetahui ramai yang prihatin mengenai perjuangan yang saya dokongi ini.

Sejak saya mengeluarkan posting tersebut, ramai yang menghantar sms dan menelefon saya di kalangan sahabat-handai, rakyat di Tumpat termasuklah beberapa pemimpin2 tertinggi UMNO dari kalangan Menteri kabinet, timbalan menteri dan bekas Menteri. Saya nukilkan beberapa sms yang dihantar:

“Adinda Wajdi, sabarlah….Dalam kehidupan politik saya, saya telah melalui pelbagai bentuk kekalahan dalam pelbagai peringkat. Termasuk di peringkat cawangan. Kita hanya menawarkan khidmat. Sekiranya kita tidak terpilih ketika itu, kita harus bersyukur kerana terlepas daripada tanggungjawab di peringkat itu. Namun tanggungjawab untuk agama dan bangsa mesti diteruskan. Semoga Allah beri kekuatan kepada saudara”. ……Dato’ S….(Menteri ?)

“Sabar…saudara sedang menempa kekuatan kerana tahu di mana kelemahan….kepimpinan bukan sahaja mereka diatas tapi mesti juga diber perhatian pada akar umbi…akar umbi yg dahagakan pergaulan…wang…mereka tak mengerti…tak berilmu…tak peduli…kita tidak boleh tinggalkan mereka…kerana kejahilan mereka…..kita berjuang terus….yang korup akan dihukum ….yang benar akan berjaya…” (Datuk Seri ……bekas MB)

“Salam…I sedih dan simpati dengan u. Inilah masalah umno. I ni bertanding MT entahlah..kalah dalam tangan” (Dato’ S……Timbalan Menteri”.

“Tabah, sabar dan ikhlas adalah senjata politik ampuh buat seorang pejuang. Istiqomah adalah jalan sebaik2 utk kita. Masanya pasti akan tiba bila kembali mengatur strategi yang tepat. Teruskan perjuangan..” (Dato’ SI…….S/U Politik )

“Adinda Wajdi….saya faham apa yang dirasai….saya juga tahu apa yang berlaku….just keep cool for the time being…thats not the end of everything…..i will look into it….salam, keep in touch” (Tan Sri A….bekas Menteri)

Saya juga menerima beratus2 sms dari kalangan pimpinan dan ahli UMNO serta rakyat marhain di Tumpat yang mengharapkan saya tidak meninggalkan terus UMNO Tumpat. Sekadar berkongsi beberapa sms yang hampir semuanya bernada lebih kurang sama. (SMS2 ini saya edit sedikit menggunakan bahasa standard bagi manfaat pembaca yang tidak arif berbahasa Kelantan).

“Dr. Asraf, harap kekalahan tidak mengecewakan tuan. Kami tahu ini adalah mainan kotor pimpinan bahagian yang takut dengan bayang2 sendiri. Tapi Tuan kena teruskan program2 tazkirah dan kuliah kerana kami dahagakan ilmu Tuan” (019922???)

“Salam, mohon tuan tidak berputus asa, kami masih bersama tuan” (013921????)

“Dr…..abe ?? minta satu sahaja, untuk tahun ini baliklah macam biasa dan buatlah ceramah2 macam biasa…ramai ketua2 cawangan dan oghe2 kampung yang sayangkan Dr. Dah lama umno tumpat tidak memiliki permata agama macam Dr. Harap sangat2 tu” (014945????)

“Mana2 saya pergi, orang duduk bercakap mengenai kekalahan Dr. Ramai yang bersimpati dan marahkan ketua bahagian. Percayalah orang2 tumpat masih sayangkan Dr. Mereka dahagakan ilmu dan harap sangat Dr tidak tinggalkan kami…” (019922????)

“Saya harap Dr akan teruskan perjuangan dan tidak meninggalkan kami, saya dan ramai lagi pemuda di luar sana memerlukan Dr. dan akan bersama-sama dgn Dr” (017209????)

 ”Salam, dr teruslah bimbing kami…sejak dr turun lepas pilihanraya, saya nampak ramai yang meminati dan memuja dr. Mereka perlu pimpinan saudara. Jangan tinggalkan kami” (013932????)

“Semoga Dr terus menjadi lebih bersemangat walau tewas. Semangat dr. menjadi penguat semangat kami. Jangan mengundur diri. Kekalahan bukan bermakna tewas. Kekalahan adalah kemenangan semangat” (0129225???)

“Walaupun Dr tewas, ramai yang menangis dan rasa kecewa. Tapi saya nampak sokongan luar biasa kerana inilah kali pertama seorang calon tidak menawarkan wang untuk jawatan tapi khidmat dan ilmu agama. Percayalah rakyat semakin sedar bahawa duit bukan segala2nya…dr kena terus turun buat prog2 ceramah. Ramai yang meminati dr” (0199911????)

“Dr kalah kerana campur tangan bahagian. Dr. kalah kerana duit. Dr kalah kerana prinsip. Tapi hakikatnya dr menang di hati kami. Jangan putus asa, kita bina kembali kekuatan” (012921????)

Demikianlah sebahagian sms2 yang saya sempat nukilkan. Kebanyakan yang lainpun mempunyai maksud yang lebih kurang sama.

Di sini saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menghantar sms2 tersebut. Buat pendokong umno dan rakyat di tumpat, tidak timbul sedikitpun perasaan untuk meninggalkan umno. Saya hanya melahirkan kekecewaan terhadap budaya bobrok yang sedang melingkari urat-saraf UMNO ketika ini.

Bagi saya perjuangan memartabatkan Islam tiada titik noktahnya. Ia hanya akan berakhir apabila kita kembali kepada Yang Maha Esa.

Politik Dakwah dan Kasih Sayang

Sejak dari awal pembabitan saya dalam politik, nawaitu saya hanyalah untuk menyuburkan budaya baru dalam dunia politik berteraskan dakwah dan kasih sayang. Bagi saya proses dakwah dan pembaikan (islah) harus juga dilakukan di dalam UMNO. Andaikata UMNO kalah dan pakatan rakyat menjadi kerajaan sekalipun, usaha ini harus diteruskan. Ini kerana dalam UMNO juga masih ramai pendokong Islam yang wajar diselamatkan. Kalau ditakdirkan UMNO jadi pembangkang, maka mereka juga harus menjadi pembangkang yang baik dan berakhlak.

Apa yang paling penting harus difahami ialah, Islam melangkaui parti politik dan agenda Islam adalah tanggungjawab semua pihak tidak kira UMNO mahupun PAS. Yang penting untuk tidak terlalu taksub dan bersikap asobiyah dalam mempertahankan puak (rujuk artikel saya mengenai asobiyah juga artikel berkenaan budaya politik baru). Ini juga memerlukan keterbukaan sikap kita untuk menerima kepelbagaian dan menghormati perbezaan pendapat yang ada(Rujuk artikel saya mengenai kepelbagaian pendapat dalam Islam). Kekuatan umat Islam amat bergantung kepada nilai tasamuh yang seharusnya menjiwai setiap individu yang beriman.

Parti Mana Yang Betul? 

Isu pemilihan parti yang dibangkitkan pengunjung juga merupakan satu isu subjektif dan memerlukan perbahasan panjang lebar mengenainya. Ini amat terkait dengan soal ijtihad yang kita sebagai manusia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada pandangan kita betul atau tidak secara mutlak.

Cuma saya mempunyai pendirian tersendiri kenapa memilih UMNO yang telah banyak saya kupas dalam tulisan-tulisan saya (rujuk laman web www.asyrafwajdi.com). Soal perjuangan ini sia2 atau tidak bukan kita sebagai manusia yang berkuasa menilainya bahkan tidak penting bagi saya. Lebih utama bukan redho manusia yang saya cari tetapi redho Allah. Allah Maha Mengetahui nawaitu dan hasrat penglibatan saya dalam UMNO. Kiranya gagal sekalipun di mata manusia, saya hanya berdoa agar Allah memberkati usaha kecil ini. Kerana akhirnya bukan natijah berjaya atau tidak yang Allah akan tanya kepada kita di akhirat kelak, tetapi amalan dan ikhtiar yang Allah akan pertanggungjawabkan.

 Sekali lagi terima kasih kepada yang prihati kepada perjuangan ini. Hanya doa yang saya harapkan daripada sahabat-sahabat pengunjung. InsyaAllah saya akan terus Istiqomah dalam perjuangan ini kerana hakikatnya Perjuangan Masih Belum Selesai…….

Debat HUJAH “Kepimpinan Terpuji”

Sunday, October 12th, 2008

Sila klik ke ikon berikut untuk menonton rakaman Hujah yang melibatkan saya dan Dr. Riduan Tee Abdullah berdebat mengenai “Kepimpinan Terpuji”.

Hujah Part 1

hujah-umno-part-1.jpg

Hujah 2

  hujah-part-1.jpg

 Hujah Part 3

hujah-umno-part-3.jpg

Apabila Kalah Lebih Baik Daripada Menang

Sunday, October 12th, 2008

Saya minta maaf kerana lama tidak mengemas-kini blog ini. Sebenarnya sejak Ramadan, amat sibuk dengan pelbagai program di Tumpat. Mungkin ada yang sudah maklum mengenai penglibatan saya dalam pertandingan Ketua Pemuda Tumpat. Mesyuarat dan pemilihan sudahpun selesai Jumaat lalu. Keputusannya saya tewas kepada calon yang ditaja Ketua Bahagian dengan majoriti 85 undi (Saya dapat 173, beliau dapt 258).

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Tuhan telah memakbulkan doa saya di Makkah baru2 ini. Saya hanya berdoa agar Allah memberi petunjuk kepada saya dengan menyerahkan segala-galanya kepadaNya. Dalam doa saya sentiasa menyebut: “Sekiranya kemenangan itu baik untukku untuk meneruskan agenda memartabatkan agamaMu melalui UMNO, maka menangkanlah. Sekiranya kekalahan itu lebih baik untuk menyelamatkanku daripada budaya rasuah, fitnah dan adu-domba yang menggilai pendokong dan pimpinan UMNO khususnya di Tumpat ketika ini, maka aku serahkan segala-galanya kepada-Mu Ya Allah”.

Memang sejak menawarkan diri utk bertanding Ketua Pemuda Tumpat yang kosong disebabkan faktor umur penyandangnya terdahulu, nawaitu saya amat jelas. Bagi saya agenda dakwah harus bermula dengan membina dan memperkasa generasi pemuda UMNO khususnya di Tumpat dengan idealisme Islam sebenar. Sebab itulah sepanjang pertandingan, tidak sesekali saya berkompromi dengan budaya rasuah politik yang bagi saya prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ tidak ada dalam kamus perjuangan Islam.

Alhamdulillah saya dikelilingi oleh jentera dan rakan-rakan pemuda Tumpat yang juga semakin memahami prinsip dan idealisme ini. Mereka bekerja bersungguh-sungguh siang dan malam untuk memenangkan saya. Mereka difahamkan bahawa wang bukan segala-galanya. Jika mereka mahu bersama saya mereka harus hormat dengan prinsip saya. Jangan sesekali membeli undi kerana bagi saya kalau menang sekalipun ia tidak akan membawa keberkatan. Agendanya ialah PERUBAHAN.

Sepanjang 7 bulan selepas pilihanraya, saya pulang setiap minggu ke Tumpat mengadakan program-program ilmu dan ceramah agama kepada cawangan2 samaada melalui madarasah mahupun program yang diatur oleh pelbagai agensi. Saya amat berkeyakinan mesej dakwah yang cuba saya terapkan semakin diterima ramai. Saya juga sempat berjumpa dan berziarah semua perwakilan samada di rumah2 dan kedai2 kopi. Mesej saya untuk lakukan perubahan dalam UMNO.

Tapi apakan daya hari ini budaya dalam UMNO begitu mengakar bahawa duit adalah segala-galanya. Perhitungan pemilihan bukan sangat kepada karisma dan wibawa pemimpin tetapi bergantung kepada berapa banyak duit yang ditaburnya. Saya kalah kepada lawan yang ditaja bahagian kerana mudah dicucuk hidungnya lantaran tidak berpelajaran dan kerjanya diragui. Mulanya saya agak ragui dari mana wang yang dibelanjakannya. Namun ramai yang maklumkan bahawa lawan saya bukannya beliau tapi pimpinan bahagian yang takut dengan bayang-bayang sendiri seolah2 jika saya menang akan mengganggu-gugat kedudukan mereka satu hari nanti. Akhirnya mereka sanggup melakukan apa sahaja memastikan kekalahan saya.

Sejak daripada musim pencalonan sehinggalah kepada pemilihan, ramai perwakilan yang mendakwa menerima sogokan daripada RM50 hinggalah RM100 seorang. Jumlah perwakilan semuanya 438 orang mewakili 146 cawangan. Cuba bayangkan berapa yang dihabiskan untuk membeli undi mereka ini. Malah ada yang menerima sogokan beberapa kali dan bukannya sekali. Ada satu cawangan yang memberitahu saya menerima RM600 untuk diberi kepada perwakilannya. Dua malam terakhir adalam malam kemuncak sogokan diberikan.

Badan Pencegah Rasuah (BPR)

Ramai mungkin tertanya-tanya kenapa saya tidak melaporkan kepada BPR jika benar saya mengetahui hal ini. Untuk saya melaporkan mungkin agak sukar kerana saya hanya menerima laporan daripada pihak ketiga dan bukan saya sendiri yang terima. Lagipun kalau saya yang melaporkan pastinya mereka akan menanggapi bahawa saya ada kepentingan kerana turut bertanding.

Namun semasa musim pencalonan, ada sekurang-kurangnya empat laporan dihantar kepada pihak Lembaga Disiplin UMNO dan BPR oleh penerima sogokan. Pada waktu itu setiap orang menerima RM50 dan seutus gelang magnetik bagi tujuan mencalonkan lawan saya dan memastikan saya gagal mendapat pencalonan. Siasatan telahpun dijalankan sepanjang Ramadan lalu dan katanya sekarang ini diperingkat terakhir. Cuma ironinya, saya dituduh sebagai pengkhianat kerana kononnya saya yang melapor. Sedangkan yang merasuah dianggap orang teraniaya (teringat Hadis Ar-Ruwaibidhoh-rujuk artikel saya dalam Mingguan Malaysia 5 Oktober).

Perjuangan Terap Diteruskan

Walaupun tewas jawatan Ketua Pemuda Tumpat, semangat saya tidak pernah luntur. Saya masih meyakini bahawa UMNO sebagai parti teras orang Melayu perlu diselamatkan demi Islam, bangsa dan negara. Mungkin buat masa ini saya perlu berundur selangkah untuk mengatur perencanaan masa depan. Namun perjuangan tetap akan diteruskan. Sekali melangkah tidak sesekali berundur.

Saya ambil kesempatan di sini memaparkan email seorang sahabat yang saya anggap bagaikan daripada darah daging sendiri. Beliau sejak dari awal pembabitan saya dalam kancah politik tidak berhenti memberikan kata2 semangat, nasihat dan peransang.

Salam Asyraf,

Nampaknya semakin jelas perjuangan membela umat dan nasib bangsa jauh
lebih sukar drp apa yang dijangka dan dibayangkan. Alhamdulillah, it
could have been worse, tetapi sekrg2nya at most pun kau hanya kalah
undi saja tapi menang dalam beberapa perkara:
(1) menang dari segi moral apabila tidak tunduk kpd kehendak tgn2
rakus yg mahu menarik kau ke jurang rasuah dan politik adu domba;
(2) menang dari segi ilmu dan pengalaman - seharusnya sbg org beriman
kita tidak patut dipatuk oleh ular yg sama dari lubang yg sama,
justeru insya Allah kau akan lebih bersedia menghadapi manusia2 bobrok
akhlak yg ramai di dlm UMNO;
(3) menang dari segi menghadapi ujian Allah dgn tidak menggadai
prinsip atas tuntutan merebut kuasa - lantas menolak politik matlamat
menghalalkan cara yg pernah (dan masih?) diamalkan oleh AI.

Sbg sahabat aku berkongsi kedukaan dan kekecewaan kau; apatah lagi
mengenangkan nasib generasi depan dan anak-cucu kita jika barah rasuah
yg busuk  itu terus berleluasa di kalangan sekelompok anak bangsa kita
yang berada di anjung kuasa. Namun yakinlah, sbgmana Allah Maha
Mengetahui setiap sesuatu perkara di dunia ini sehingga setiap helai
daun yg gugur, begitu jugalah Allah Maha Mengetahui segala usaha baik
yg kau lakukan, insya Allah.

Kalau boleh sedikit sebyk melegakan kau, ingatlah bahawa Mukhriz
Mahathir pun dulu tewas pemilihan Ketua Bahagian Kubang Pasu padahal
ayahnya bekas PM dan bekas ketua bahagian. Dah la dia sendiri
businessman jutawan. Skrg ni he seems to be on track to achieve
greater things … inilah semangat pejuang yg setiap kita sepatutnya
ada dan tidak mudah putus asa. Aku tahu kau dah mencuba sehabis daya,
dan mungkin terasa letih … jgn risau, you are still young and time
is on your side. Probably buat masa ni kau boleh berehat sekejap dari
politik sambil menumpu perhatian pada agenda lain; sambil tu boleh
juga menyusun semula strategi baru utk menang dalm persaingan yg akan
datang.

Whatever it is, I am proud of you and I will continue to support you
as a friend. All the best!