Archive for September, 2008

Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju

Tuesday, September 23rd, 2008

Sahabat-sahabat pengunjung,

Terima kasih atas semua komentar yang diberikan. Setakat ini saya tidak pernah memadam mana-mana posting hatta yang menghentam peribadi asalkan bahasa yang digunakan tidak keterlaluan dan masih dalam batasan syarak. Saya juga tidak bercadang untuk menjawab setiap persoalan yang dikemukakan kerana sebahagian besarnya saya sudah tulis dalam siri-siri rencana mingguan saya yang boleh dirujuk dalam website utama saya www.asyrafwajdi.com.

Apa yang lebih mustahak untuk kita menggunakan ruangan ini bagi menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing secara terbuka. Saya mungkin bersetuju dan mungkin juga tidak bersetuju dengan pandangan yang diberikan. Tapi biarlah kita belajar untuk bersikap ‘tasamuh’ iaitu berlapang-dada atau “bersetuju untuk tidak bersetuju”. Saya juga masih berpegang kepada prinsip “Bersedia Mengkritik dan Dikritik”. Sebab itulah terserah kepada saudara2 sekalian untuk menilai secara rasional dan objektif setiap isu yang dikemukakan.

Akhir kata, buat sahabat-sahabat lama yang turut berkunjung, teruskan mengemukakan komentar dan kritikan anda kerana sesungguhnya setiap ulasan saudara saya nilai dan hayati satu-persatu walaupun tidak semestinya saya bersetuju. Moga-moga setiap perbuatan, tutur-kata, tulisan dan pandangan akan dinilai Allah dan diberikan hasanah yang terbaik disisiNya. Apa yang lebih utama ialah untuk kita kekal berprinsip dan meletakkan matlamat utama perjuangan iaitu untuk memartabatkan agamaNya, tidak kiralah dalam apa jua wadah dan lapangan yang dipilih dan diceburi. Moga-moga perjuangan kita ini diberkati Allah.

Bagaimana Rasanya Bila Diperbodohkan?

Wednesday, September 17th, 2008

Seperti orang lain, saya juga ternanti-nanti saat 16 September yang dijanjikan akan berlakunya perubahan kerajaan. Namun sehingga jam 12 malam tadi, tidak apa-apa yang berlaku. Apa yang lebih menarik skrip baru pula muncul dengan pelbagai dakwaan baru. Yang aneh bin ajaib ramai pula yang masih yakin dan percaya bahawa kerajaan akan bertukar sebegitu mudah walaupun skrip drama sentiasa berubah-rubah,

Memang sejak dari awal lagi apabila ditanya rakan-rakan mengenainya, saya cepat menolak kemungkinan berlakunya perubahan kerajaan pada 16 September atas banyak faktor yang telahpun dibahaskan oleh ramai pihak dan tidak perlu saya menambah lagi.

Cuma saya berpendapat, usaha merampas hak rakyat secara tidak sah yang sudahpun memberi mandat kepada kerajaan BN melalui PRU12 yang lalu adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab. Malah jika berlakupun perubahan kerajaan secara ‘lompat parti’, ia merupakan satu penyelewangan amanah rakyat. Hak menentukan sama ada kerajaan sedia ada wajar ditukar atau tidak dalam sistem demokrasi yang ada adalah milik mutlak rakyat.  Kalau betul rakyat memang mahukan perubahan kerajaan secara total, maka berilah kepercayaan kepada rakyat untuk membuat keputusan dalam pilihanraya akan datang.

Melainkan kita sudah tidak lagi percaya kepada sistem demokrasi pilihanraya. Jika demokrasi pilihanraya tidak lagi diyakini, alternatifnya tidak ada yang lain kecuali sistem anarki yang hanya akan memporak-porandakan negara. Apa jaminan apabila kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, tidak akan ada pula fenomena ‘lompat parti’ kepada Barisan Nasional pula. Akhirnya jawatan wakil rakyat tidak lagi tertumpu untuk berkhidmat kepada rakyat tapi menjadi ‘bahan komoditi’ untuk diperdagangkan bagi meraih keuntungan peribadi.

Janganlah kerana terlalu rakus untuk berkuasa kita sanggup menggadai masa depan negara yang sehingga kini berterusan dalam keadaan ketidak-tentuan. Janganlah kerana begitu bersyahwat untuk menjadi Perdana Menteri kita sanggup memperjudikan keharmonian dan kestabilan yang tidak berbaloi untuk dipertaruhkan.

Bertolak Pulang Ke Tanah Air-Singgah Dubai

Friday, September 12th, 2008

Ketika menulis coretan ini, saya sedang berada di Business Lounge Lapangan Terbang Dubai menuggu psesawat pulang ke tanahair.  Alhamdulillah, setelah lapan hari di Mekah dan Jeddah menjalani ibadah Umrah dan menghadiri persidangan, kini dapatlah kembali semula ke tanahair. Semalam sempat singgah di Dubai untuk menghadiri mesyuarat dengan pihak Emirates Islamic Bank. Petangnya berbuka puasa di rumah sahabat lama Dr. Abdulazeem Abozaid, seorang Syria yang dulunya bersama-sama mengajar di UIA tapi kini bekerja di Dubai.

Suasana Ramadan di Dubai ini amat berbeza sekali dengan negara-negara Arab lain. Di sini suasanya lebih terbuka atau mungkin juga boleh dikatakan ‘terlebih terbuka’. Apa tidaknya semuanya ada di sini. Pendek kata siapa yang mencari syurga pun ada, siapa yang cari neraka pun ada. Itulah ungkapan yang sering digambarkan kepada saya setiap kali saya bertanyakan kepada rakan-rakan yang ditemui di sini.

Kota Dubai amat pesat membangun dengan pelbagai bangunan pencakar langit. Cuma yang menyedihkan budaya Islamik semacam hilang daripada bumi ini. Fenomena yang ada tidak ubah bagaikan negara barat. Malah aktiviti pelacuran juga semacam agak terbuka. Keinginan kerajaan untuk menarik pelabur asinglah yang mendorong mereka menutup sebelah mata kepada aktiviti tidak bermoral seperti ini. Malah pub, casino dll. juga diberikan lesen oleh kerajaan. Bagi mereka itu hak orang bukan Islam yang berpenat lelah bekerja keras di siang hari jadi perlu diberikan kebebasan kepada mereka untuk menjadi ‘binatang’ di malam hari.

Demikianlah coretan ringkas saya dalam masa yang terbatas sementara menunggu pesawat untuk pulang ke tanahair.  InsyaAllah akan saya sambung di lain ruangan.

Ramadan Bulan Berpesta Ibadah

Friday, September 12th, 2008

Ramadan bulan pesta ibadah

Hari ini genap tujuh hari umat Islam berpuasa dan menjalani ibadah pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan kedatangannya oleh umat Islam seantero dunia. Inilah peluang keemasan mereka menggandakan amalan bukan sahaja dalam konteks berpuasa malah pelbagai amal ibadah lain yang dijanjikan Allah ganjaran berlipat ganda.

Bagi penulis, Ramadan kali ini cukup istimewa kerana berpeluang menjalani ibadah puasa di Tanah Suci Mekah al-Mukarramah. Selepas kali terakhir mengunjungi Mekah kira-kira tujuh tahun lalu iaitu ketika melaksankan ibadah haji, pelbagai perubahan drastik dari segi pembangunan inftrastruktur dapat disaksikan kini.

Sebenarnya kedatangan penulis ke Tanah Suci tahun ini adalah sebagai memenuhi undangan untuk turut serta dalam Persidangan Antarabangsa Mengenai Kewangan dan Perbankan Islam yang turut disertai oleh para ulama dan pakar-pakar kewangan Islam seluruh dunia.

Ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh badan kewangan Islam terkemuka iaitu Syarikat Dallah Al-Barakah yang juga merupakan konsortium bertanggungjawab dan diamanahkan oleh kerajaan Saudi untuk mengurus dan menyelenggara Masjidil Haram.

Dalam penulisan kali ini penulis ingin menelusuri penghayatan Ramadan di Mekah. Suasana berpuasa dan beribadah Ramadan di Mekah tentunya ada kelainan dengan suasana umat Islam menjalani ibadah Ramadan di Malaysia.

Kelainan yang penulis maksudkan bukanlah berkisar mengenai prinsip asas ibadah puasa yang tentunya tidak ada perbezaan ketara. Namun apa yang menarik untuk penulis kongsikan dengan pembaca ialah berkenaan suasana, amalan dan budaya sambutan Ramadan di Mekah yang begitu ketara perbezaannya dengan Malaysia.

Apa yang pasti, di sini tidak ada bazar Ramadan dengan kepelbagaian juadah berbuka sebagaimana tradisi masyarakat Islam di Malaysia. Tidak ada iklan-iklan mahupun lagu-lagu hari raya yang berkumandangan sejak hari pertama puasa di gedung-gedung membeli-belah dan pasar raya tempatan.

Sebaliknya suasana Ramadan di sini bagaikan ‘pesta ibadah’ yang disuburi dengan pelbagai aktiviti ibadah sama ada yang wajib mahupun sunat. Umat Islam di sini bagaikan menyambut perayaan besar dengan masing-masing berlumba-lumba melakukan kebajikan dalam usaha menghidupkan Ramadan melalui pelbagai aktiviti ibadah terutamanya di masjid.

Kemuliaan Ramadan

Bagi menyemarakkan lagi pesta ibadah ini pelbagai promosi diadakan yang menjurus kepada galakan kepada umat Islam menggandakan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Jalan-jalan raya umpamanya dipenuhi papan-papan tanda bercahaya warna-warni yang tertera perkataan ‘Ramadan Karim’ untuk mengingatkan umat akan kemuliaan Ramadan yang tidak wajar dipersiakan.

Suasana di Masjidil Haram ketika ini juga bagaikan musim Haji yang menyaksikan lautan manusia memenuhi setiap ruangan masjid hingga ke luar. Jumlah manusia juga dikatakan lebih ramai apabila menjelangnya sepuluh malam terakhir.

Suasana Ramadan yang paling menarik perhatian ialah waktu berbuka puasa. Sudah menjadi fenomena lumrah pada bulan Ramadan terutamanya di Masjidil Haram, kita menyaksikan umat bagaikan berebut untuk bersedekah dan berkongsi juadah makanan sesama Islam.

Untuk memudahkan urusan pengagihan pasukan khas dengan vest yang tertera perkataan ‘Muassasah Khairiyah’ dilihat begitu sibuk menyelenggara penggagihan makanan dan minuman yang disedekahkan oleh orang ramai. Pendek kata bulan Ramadan bagaikan memberi jaminan bahawa tidak ada yang kelaparan ketika berbuka.

Yang lebih istimewa bagi penulis ialah dapat melihat jutaan umat Islam tanpa mengira darjat, keturunan, bangsa mahupun negara dapat duduk bersimpuh bersama menikmati juadah berbuka atas semangat persaudaraan Islam yang hakiki. Terdetik di hati penulis, alangkah baiknya jika suasana sebegini dapat diterjemahkan secara berterusan dalam kehidupan umat Islam secara keseluruhannya.

Bukan itu sahaja budaya mendoakan saudara seIslam apabila bertemu tanpa mengira kenalan mahupun tidak adalah fenomena biasa di Tanah Haram ini. Masing-masing apabila berjumpa atau berselisih akan mengungkapkan kalimah ‘Taqabalallahu minna wa minkum’ yang bermaksud ‘semoga Allah menerima amalan kami dan kalian’.

Amalan berdoa untuk saudara seIslam secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi persaudaraan sekaligus menghilangkan sifat pentingkan diri sendiri. Ini juga merupakan sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa menganjurkan umat Islam saling mendoakan kesejahteraan dan keberkatan di antara satu sama lain.

Amalan ini jika diteruskan mampu membenam perasaan angkuh dan sombong yang sering menguasai diri. Memang tanpa disedari kita seringkali terdorong kepada sikap yang bertanggapan bahawa syurga hanya untuk diri kita sahaja. Apa yang berlaku kepada orang lain tidak dihiraukan kerana apa yang penting diri sendiri kena selamat terlebih dahulu.

Budaya individualistik atau pentingkan diri sendiri sebegini sebenarnya kian mengakar dalam diri umat Islam. Natijahnya kita menyaksikan bagaimana umat bagaikan sudah hilang nilai kasih sayang hingga sanggup mengenepikan persaudaraan sesama Islam.

Lihat sahajalah senario umat Islam di negara kita khususnya. Sejak kebelakangan ini terlalu banyak berita yang dipaparkan di media massa mengenai perbalahan sesama umat Islam hanya kerana mengejar habuan duniawi. Demi kuasa umpamanya umat sanggup melakukan apa sahaja hatta ke peringkat sanggup melakukan kemudaratan seperti insiden penyimbahan asid, pembunuhan dan sebagainya. Lebih menyedihkan ia berlaku pada bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

Semua ini bertitik-tolak daripada kegagalan umat menghayati ibadah Ramadan yang bukan sahaja mempunyai nilai perhambaan seutuhnya kepada Allah tetapi juga bermatlamat memperteguhkan kekuatan persaudaraan Islam yang menjadi teras kekuatan umat Islam.

Justeru sudah tiba masanya umat Islam khususnya di Malaysia kembali menghayati amalan beribadah pada bulan Ramadan dengan kefahaman yang lebih utuh. Budaya Ramadan yang baik sebagaimana yang diamalkan di Mekah harus disemarakkan di dalam diri setiap umat Islam. Ini termasuklah budaya yang menjurus umat kepada semangat persaudaraan Islam yang hakiki.

Sesungguhnya ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan hanya akan lebih bermakna sekiranya umat benar-benar memahami falsafah dan nilai-nilai yang terkandung di sebalik amalan berpuasa Ramadan. Moga-moga Allah memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya dalam menyemarakkan pesta ibadah pada bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

(Artikel ini telah disiarkan dalam kolum saya di Mingguan Malaysia, 7 September 2008)

Berangkat Ke Tanah Suci Untuk Persidangan dan Umrah

Monday, September 1st, 2008

InsyaAllah hari Rabu ini (3 September), saya akan berangkat ke Mekkah. Sebenarnya atas jemputan menghadiri Persidangan Antarabangsa Kewangan Islam yang dianjurkan oleh Badan kewangan Islam terkemuka Dallah Al-Barakah. Persidangan tahunan ini menghimpunkan ulamak-ulamak dan pakar-pakar kewangan Islam seluruh dunia. Berkesempatan dengan peluang penerbangan percuma ini saya akan turut mengerjakan Umrah dan dijangka berada di sana sekitar 9 hari.

Sudah hampir 9 tahun saya tidak ke Mekkah. Kali terakhir atas jemputan Kerajaan Arab Saudi (juga percuma) untuk mengerjakan Haji mewakili delegasi pertubuhan Islam dari Malaysia. Masih segar di ingatan pada waktu itu kami delegasi Malaysia seramai lebih kurang 40 orang terdiri daripada wakil-wakil badan dakwah dan NGO Islam seperti ABIM, JIM, PKPIM, MAGMA dsb. Ketua rombongan pada waktu itu ialah Dr Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis). Itulah bermulanya persahabatan akrab saya dengan Dr. Asri yang kebetulannya pada waktu itu sedang menyiapkan tesis Phdnya di UIA dan tinggal di asrama yang sama dengan saya (Mahallat Al-Faruq).  

ALhamdulillah, kerinduan saya pada Baitullah terubat juga dengan peluang keemasan untuk ke sana buat kesekian kalinya. InsyaAllah, antara doa yang tidak akan terlepas daripada bibir saya sepanjang di sana tentunya agar Allah memberkati perjuangan saya dan mempermudahkan jalan untuk terus memartabatkan Islam melalui politik. Juga moga Allah menjauhkan bala bencana dan mengurniakan kesejahteraan kepada umat Islam khususnya di bumi Malaysia dan seantero dunia.

Buat sahabat-sahabat pengunjung, doakan keselamatan dan kesejahteraan perjalanan saya ke Tanah Suci ini.

Selamat Melalui Madrasah Ramadan

Monday, September 1st, 2008

Assalamualaikum kepada semua Pengunjung,

Saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah berpuasa dan beramal di sepanjang bulan Ramadan. Sesungguhnya ini adalah peluang terbaik untuk kita semua kembali melakukan pembaikan diri atau ‘overhaul’ supaya menjadi insan yang lebih bertaqwa. Madrasah Ramadan menjanjikan seribu satu peluang untuk kita meningkatkan kualiti diri. Moga-moga kehadiran Ramadan kali ini dapat meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

 Ikhlas,

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki