Archive for July, 2008

Apabila Nik Aziz Berfikir Di Luar Kotak

Monday, July 28th, 2008

Dalam ramai-ramai politikus PAS, saya cukup mengkagumi Tuan Guru Nik Aziz yang sememangnya terkenal dengan kelicikan dan kebijaksanaan beliau berpolitik. Sejak mula menjawat jawatan Menteri Besar pada tahun 1990 lagi, kenyataan beliau sering sahaja mencetuskan polemik dan kontroversi. Namun, jika ditelusuri pandangan-pandangan beliau kebanyakannya menggambarkan suatu pemikiran yang disebut sebagai ‘thinking out of box’ atau berfikir di luar kotak. Maksudnya keupayaan mencanai idea-idea baru yang bebas daripada ruang-lingkup kebiasaan.

Terbaru ialah cadangan beliau agar UMNO dan PAS dibubarkan dan kedua-duanya bersatu menubuhkan sebuah PARTI BARU berasaskan Islam.  Bagi penulis, idea berani ini pastinya bakal mengundang satu lagi polemik baru politik tanahair. Namun apa salahnya kita berfikir dan cuba mencanai idea ini secara objektif. Siapa tahu mungkin idea yang dipandang remeh boleh jadi formula terbaik menjernihkan budaya politik Melayu yang semakin kalut dan bobrok.

 Apa pandangan ANDA?

Muzakarah UMNO-PAS: Satu Permulaan Yang Baik?

Tuesday, July 22nd, 2008

Dua tiga hari kebelakangan ini media begitu teruja memaparkan berita mengenai pertemuan dan perbincangan yang telah dan akan berlangsung diantara dua parti terbesar Melayu-Islam iaitu UMNO dan PAS. Bagi politikus yang berjiwa besar, beridealisme dan berwatak negarawan (statesmanship) yang meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan politik kepartian yang sempit pastinya mengalu-alukan perkhabaran seperti ini.

Apatah lagi, ketika parti-parti Melayu-Islam lebih berkecenderungan mengambil hati parti-parti bukan Islam, berita seperti ini sedikit-sebanyak melegakan ramai pihak. Sekurang-kurangnya kita sebagai orang Islam masih menyedari prinsip dan hakikat Islam yang mengutamakan persahabatan sesama Islam melebihi persahabatan dengan bukan Islam. Malah Allah dalam Al-Quran turut menempelak hambanya yang berkecenderungan meletakkan keutamaan bersahabat dengan bukan Islam sehingga menafikan saudara seIslamnya sendiri:

 Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman, dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun. (Ali ‘Imran: 28).

Apa komen Anda? 

 

DEBAT ANWAR-SHABERY - Komen Anda

Wednesday, July 16th, 2008

Alhamdulillah buat pertama kali dalam sejarah tanahair satu debat terbuka ala-debat Presiden Amerika telah diadakan tanpa insiden yang tidak diingini. Rasanya sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin parti politik bersikap ‘gentle-man’ seperti Anwar dan Shabery yang bersedia bersemuka dan berdebat tanpa perlu mengata dari belakang.

Saya amat mengalu-alukan komentar saudara-saudari pengunjung mengenai debat yang telah berlangsung.