Archive for June, 2008

Henti Polemik Hadhari Tumpu Masalah Rakyat

Monday, June 23rd, 2008

NAMPAKNYA isu Islam Hadhari terus menjadi tumpuan kerajaan-kerajaan negeri yang baru ditubuhkan. Selepas Selangor melarang segala aktiviti bersangkut-paut dengan Islam Hadhari, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pula berlagak ‘hero’ dengan menuruti jejak langkah yang sama.

Dalam suasana kegawatan isu peningkatan harga minyak dan kos sara hidup yang cukup membebankan rakyat, seharusnya kerajaan Pakatan Rakyat lebih menumpukan kepada usaha mencari pendekatan berkesan bagi meringankan beban rakyat di negeri-negeri yang diperintahnya.

Polemik

Amat malang jika kepercayaan yang diberikan rakyat untuk merubah nasib mereka dipersia-siakan lantaran kesibukan para pimpinannya mencetuskan polemik yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada masyarakat. Mungkin sesetengahnya masih terbawa-bawa dengan watak dan pemikiran pembangkang, walhal mereka sudah bergelar parti pemerintah di beberapa buah negeri.

Lebih menyedihkan jika ada yang mahu berlagak seperti mufti dan ulama dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa hanya kerana berupaya menghafal beberapa potongan ayat al-Quran atau berbicara menggunakan ‘ana-anta’.

Sebenarnya, pendekatan Islam Hadhari sudahpun diputuskan bukan sahaja oleh ulama tempatan malah disepakati oleh para ulama fiqh di peringkat antarabangsa. Majlis Kesatuan Fiqh Antarabangsa yang menghimpunkan ulama-ulama besar tersohor dan diiktiraf mewakili negara-negara Islam OIC, dalam persidangannya yang ke-18 di Putrajaya dari 9-14 Julai 2007 telahpun membahaskan manhaj atau pendekatan AlHadhari yang digunakan kerajaan Malaysia.

Untuk manfaat pembaca dalam ruangan yang terbatas ini, penulis akan merumuskan fatwa atau keputusan Majlis Fatwa tertinggi negara-negara OIC berkenaan Islam Hadhari berasaskan kertas kajian yang dibentangkan oleh wakil kerajaan Malaysia yang bertajuk “Petunjuk Bagi Jalan Kembali Kepada Manhaj Al-Hadhari Dalam Islam”.

Secara umumnya para ulama antarabangsa yang bersidang bersetuju terhadap pendekatan kerajaan Malaysia untuk membangunkan negara berasaskan manhaj ketamadunan atau Hadhari. Sebanyak sembilan ketetapan dicadangkan oleh Majlis Kesatuan Fiqh Antarbangsa dalam resolusi fatwa bilangan 163 (18/1) sebagai suatu usaha pengukuhan kepada konsep ‘Hadhari’ yang diperkenalkan.

Antara lain Majlis bersetuju bahawa manhaj Hadhari mampu memberi peluang kepada orang Islam mengembalikan peranan mereka dan memulihkan kemunduran yang dideritai umat ketika ini. Ini termasuklah saranan agar umat kembali kepada nilai-nilai agama yang sebenar sekaligus membebaskan mereka daripada keterikatan kepada sistem ciptaan manusia.

Apa yang berlaku hari ini, wujudnya penyimpangan kefahaman terhadap agama yang mengakibatkan umat terbelenggu dalam gejala pelampauan, sama ada pelampauan dalam mengejar kebendaan mahupun pelampauan dalam menolak kemajuan yang menyebabkan umat berterusan terbelenggu dalam kemunduran.

Justeru Majlis memutuskan bahawa pendekatan Hadhari wajar digerakkan untuk memahamkan umat mengenai ajaran Islam sebenar sekaligus menghapuskan unsur-unsur negatif yang melanda umat bagi mendepani cabaran-cabaran yang dihadapi mereka.

Antara unsur-unsur negatif yang dikenal-pasti oleh Majlis Fiqh sebagai suatu kewajipan untuk diperangi melalui pendekatan Hadhari termasuklah fahaman taksub mazhab yang menjadi batu penghalang terhadap teori pembaharuan yang tepat; pelampauan dalam pemikiran dan tingkah laku yang mencetuskan pelbagai masalah dalam masyarakat; fahaman komunis dan tiada agama (freethinker atau atheist) yang dibina atas asas pemisahan ikatan agama dari kehidupan; kejahilan berkenaan cabang-cabang ilmu menyebabkan terhalangnya kefahaman mengenai hakikat sebenar sesuatu isu (berkaitan Islam); dan tidak menghargai nilai waktu dan kesannya yang menjadi faktor penyebab kepada kegagalan dan kemunduran umat Islam.

Keputusan

Dalam teks keputusan fatwa Majlis Kesatuan Fiqh Antarabangsa itu juga para ulama turut mewasiatkan agar diperkukuhkan keimanan dan amal soleh sebagai langkah pertama bagi mengembleng usaha tarbiyah untuk melahirkan keperibadian Islam yang mampu mengembalikan peranan ketamadunan Islam disamping berperanan untuk menyumbang kepada ketamadunan manusiawi.

Kerajaan Malaysia juga disarankan agar memastikan pendekatan Hadhari dibina atas asas pembenihan dan penerapan nilai-nilai akhlak Islam dalam masyarakat. Perenggan akhir keputusan Majlis Fiqh turut mengesyorkan agar diadakan persidangan antarabangsa khas bagi menerangkan hakikat ketamadunan dan kemajuan Islam serta kandungan risalah Islam yang kekal.

Di sini jelaslah kepada kita bagaimana pendekatan Islam Hadhari ini turut mendapat pengiktirafan ulama-ulama antarabangsa yang sudahpun mengeluarkan fatwa menyokong manhaj yang digunakan kerajaan Malaysia dalam membangunkan negara. Jadi tidak perlulah dipanjangkan polemik ini yang hanya menambah keserabutan masyarakat.

Kalaupun tidak bersetuju dengan istilah yang digunakan sama ada ‘Hadharah Islamiah’, ‘Al-Hadhari Al-Islami’ mahupun ‘Islam Hadhari’ janganlah dinafikan segala kebaikan isi kandungan dan program yang pada hakikatnya sudahpun mendapat pengiktirafan ulama antarabangsa.

Kita seharusnya malu kepada penganut agama lain yang pastinya mentertawakan kita lantaran sikap suka berbalah dalam isu-isu ranting seperti perdebatan mengenai istilah. Walhal banyak lagi perkara pokok yang harus ditangani umat ketika ini. Jangan sampai rakyat mencemuh pemimpin politik kerana kegagalan mereka menyelesaikan masalah yang lebih mendasar lantaran terlalu sibuk berpolemik dalam perkara yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.

(Artikel ini sudah tersiar dalam ruangan saya di Mingguan Malaysia, Ahad 15 Jun 2008)

Kepemimpinan adalah taklif bukan tasyrif

Monday, June 23rd, 2008

IKLIM politik negara ketika ini seolah-olah berada dalam suasana yang penuh dengan ketidakpastian. Semenjak berakhirnya pilihan raya umum lalu, cakap-cakap politik kedai kopi terus berlegar mengenai kemungkinan berlakunya lompat-melompat di kalangan ahli-ahli Parlimen. Tidak kurang juga di kalangan pimpinan parti yang begitu sibuk bercongak-congak mengenai masa depan dan kedudukan politik masing-masing terutamanya menjelang musim pemilihan parti akan datang.

Fenomena seperti ini tentulah merimas dan mencetuskan perasaan kurang senang rakyat yang pasti mendambakan sesuatu yang lebih bermakna daripada para pemimpin yang dipilih mereka melalui pilihan raya lalu. Apa tidaknya, pada ketika rakyat sedang berhadapan dengan realiti peningkatan kos sara hidup yang semakin meruncing, para pimpinan parti tampak lebih sibuk mencatur soal kuasa dan takhta.

Semuanya ini hanya kerana kegelojohan dan kerakusan sesetengah pimpinan politik negara yang lebih memperhitungkan soal kuasa dan nafsu untuk menjadi pemimpin. Sememangnya kuasa yang secara fitrahnya berkait rapat dengan kepimpinan adalah isu yang cukup penting untuk dibicarakan setulusnya agar natijah yang lahir daripadanya bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri tetapi yang lebih utama kepada masyarakat keseluruhannya.

Sama ada disedari ataupun tidak, kita sebenarnya sedang mengalami krisis pemikiran dan pendangkalan persepsi terhadap makna kuasa. Dalam membicarakan soal kuasa pasti ramai yang secara sepontan menanggapinya sebagai satu bentuk kemasyhuran atau tasyrif yang boleh mengangkat martabat seseorang ke satu tahap yang menyebabkannya dihormati dan disanjungi masyarakat.

Rasional

Malah tidak kurang yang melihatnya sebagai lesen besar untuk memenuhi keserakahan nafsu. Akibat kedangkalan persepsi inilah kita dapati manusia bagaikan paranoid dan hilang kewarasan apabila membicarakan mengenai kuasa. Manusia seolah-olah hilang pertimbangan rasional apabila kuasa menjadi matlamat hidup, bahkan dipertuhankan sehingga tergamak menggadai prinsip dan nilai-nilai agama.

Apa sahaja sanggup dilakukan demi kuasa. Ada yang rela melabur wang hingga mencecah jutaan ringgit hanya untuk merebut kuasa. Ada yang sanggup menggadaikan prinsip dan nilai agama hanya untuk mempertahankan kuasa. Tidak kurang juga yang sedia berjual-beli ayat-ayat suci al-Quran kerana taksub untuk berkuasa. Mereka memekakkan telinga daripada mendengar amaran Allah yang amat keras: Dan janganlah kalian menjual ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah (al-Baqarah:41).

Sesetengahnya menganggap duit yang dihabiskan untuk membeli sokongan amat berbaloi lantaran limpahan pulangan yang bakal diperoleh amat lumayan harganya. Apa tidaknya, rata-rata bertanggapan dengan kuasa dapat memiliki harta besar, kereta besar, rumah besar, isteri besar dan serba-serbinya besar.

Kadangkala jawatan parti dilihat lebih mahal nilainya berbanding jawatan wakil rakyat. Ini kerana jawatan parti memungkinkan seseorang mendekati pihak atasan yang sekaligus memudahkan limpahan kekayaan disalurkan bagi memperkayakan diri dan suku-sakat.

Soal keberkatan harta dan halal-haram perolehan tidak lagi diperhitungkan. Semuanya kerana dikaburi dengan fatamorgana kuasa yang begitu menghayalkan. Akhirnya kuasa dan kepemimpinan tidak lagi difahami sebagai amanah dan tanggungjawab (taklif) sebaliknya satu bentuk kemuliaan (tasyrif).

Kita sebenarnya lupa atau buat-buat lupa bahawa kuasa merupakan amanah Allah atau taklif iaitu beban tanggungjawab yang akan diperhitungkan pada hari akhirat kelak. Sebab itulah sebagai amanah keagamaan, kegagalan menunaikan amanah kepimpinan boleh menatijahkan risiko hukuman ukhrawi yang berat.

Inilah yang terangkum melalui nasihat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Dzar Al-Ghiffari berkenaan dengan konsep kuasa dan kepimpinan sebagaimana sabdanya: Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya. (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah juga pernah bersabda: Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat. Ditanya kepada baginda, “Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?” Rasulullah bersabda: Apabila amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!

Beban

Dalam tradisi kepimpinan Islam, taklif atau beban tanggungjawab kepimpinan ini sememangnya amat berat dan cukup kudus. Sebab itulah posisi kepimpinan tidak diminta-minta atau diperebutkan. Malah Rasulullah tidak pernah memberikan posisi kepimpinan kepada yang meminta.

Apa yang pasti, kuasa bukannya suatu bentuk tasyrif (pangkat kebesaran) yang boleh diperdagangkan bagi tujuan kemegahan dan meraih populariti. Kuasa juga bukannya lesen yang menghalalkan segala bentuk rasuah, adu-domba dan fitnah-memfitnah sesama sendiri. Lebih menyedihkan jika kuasa berterusan menjadikan umat bergelumang dengan penyakit hasad-dengki dan benci-membenci hingga terhakisnya kekuatan dan jatidiri.

Sebab itulah penjernihan sikap dan persepsi terhadap konsep kuasa perlu mengakar ke dalam hati nurani setiap individu. Umat harus dipasakkan dalam kerangka pemikiran mereka agar melihat kuasa sebagai taklif atau tanggungjawab dan amanah yang wajib dilaksanakan sebaik mungkin demi memenuhi tuntutan agama dan harapan rakyat.

Dengan memahami hakikat kuasa dan makna kepemimpinan berpandukan suluhan agama yang benar sahajalah yang mampu mengangkat martabat dan mengembalikan maruah para pemimpin hari ini. Sesungguhnya perjuangan memartabatkan bangsa tidak akan membawa sebarang makna kiranya masih tersisa di dalam kotak pemikiran kita sikap mementingkan diri sendiri lantaran begitu taksub hendak berkuasa hingga tercabut semangat perjuangan yang sebenar.

(Artikel ini sudah tersiar dalam ruangan saya di Mingguan Malaysia, Ahad 22 Jun 2008)

Sembahyang 2 Imam di Masjid Pok Keral, Tumpat

Thursday, June 12th, 2008

img_0328.JPG

Jumaat lepas saya berkesempatan menunaikan sembahyah Jumaat di Masjid Pok Keral yang baru disempurnakan pemasyhurannya oleh DYMM Al-Sultan Kelantan. Sebenarnya sengaja saya pergi ke sana selepas menerima berita daripada sahabat saya Ketua Pemuda Pok Keral Mat Rizal berkenaan insiden sembahyang Subuh 2 imam pada hari sebelumnya.

Rupa-rupanya saya tidak keseorangan berjemaah pada hari tersebut. Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaaffar juga turut hadir dalam solah yang diimamkan oleh wakil Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Pihak polis Jajahan Tumpat juga turut hadir.

Insiden sembahyang 2 imam tersebut berlaku kerana ketidak-puasan hati segelintir jemaah daripada parti PAS terhadap imam yang dicop sebagai ‘pro-UMNO’ walhal beliau telahpun mendapat watikah perlantikan daripada DYMM Al-Sultan Kelantan dan MAIK. Mereka inginkan imam dari kalangan puak PAS dilantik (Ironinya, imam yang dicadangkan itu dimport dari Seberang-Thai bukan anak mukim).

Lantaran rasa tidak puas hati itulah maka insiden sembahyang dua imam berlaku ketika sembahyang Subuh (Imam Mukim yang dilantik bersama satu jemaah di hadapan dan Imam import bersama satu jemaah lain dibelakang pada waktu yang sama). Selepas daripada insiden itu laporan polis telah dibuat.

Saya sempat berbincang dengan YB Datuk Kamaruddin dan wakil MAIK agar diselesaikan secara baik. Alhamdulillah, YB Datuk amat rasional bahkan bersetuju dengan pihak MAIK untuk mengiktiraf Imam yang telahpun menerima watikah perlantikan daripada Sultan.

Moga-moga insiden ini tidak berulang lagi. Janganlah kerana perbezaan parti politik kita sanggup membelakangi prinsip dan nilai agama. Janganlah kerana perbezaan parti kita sanggup memutuskan tali persaudaraan sesama Islam. Walau apapun keadaan, Islam harus diletakkan di atas dan merentasai segala kepentingan puak mahupun parti politik.

Rakaman Program Hujjah “Memperkasa Politik Melayu”

Wednesday, June 4th, 2008

Bagi yang tak berkesempatan menonton rancangan Hujjah TV9 “Memperkasa Politik Melayu” baru-baru ini yang melibatkan saya sebagai ahli panel, sila klik pada gambar-gambar di bawah. 

Hujah: Bahagian 1

 hujjah.jpg

 Hujah: Bahagian 2

 hujah-part-3.jpg

 Hujah: Bahagian 3

hujjah-part-2.jpg

Antara Islam Hadhari dan Ladang Babi

Monday, June 2nd, 2008

KERAJAAN Selangor awal minggu ini mengisytiharkan bahawa sebarang program yang berkaitan dengan konsep Islam Hadhari diharamkan daripada dijalankan di negeri tersebut. Ini kerana mengikut Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, rakyat Selangor tidak memerlukan konsep tersebut lantaran Islam yang diamalkan sudah lengkap dan sempurna.

Tampak kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah kerajaan Selangor begitu komited untuk menggamalkan Islam secara total dan menyeluruh. Namun apa yang begitu ironi, ketika mempertahankan hujahnya, exco yang sama turut menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang mengatakan kerajaan Selangor akan menghapuskan kilang- kilang arak dan lesen-lesen judi di negeri tersebut.

Lebih mengelirukan apabila pemimpin yang tampak bersemangat mengharamkan pendekatan Islam Hadhari tanpa segan silu mempertahankan pula projek pembinaan ladang babi terbesar yang mencecah RM100 juta ketika polemik mengenainya tercetus tidak berapa lama dulu.

Persoalannya, apakah projek pembinaan ladang babi itu lebih mulia dan kudus daripada pendekatan Islam Hadhari? Apakah kilang arak dan lesen judi yang ada di Selangor itu lebih suci untuk dipertahankan berbanding orientasi Islam Hadhari? Atau benarkah tanggapan mengatakan Islam Hadhari ini benar-benar suatu konsep yang sesat lagi menyesatkan?

Berkepentingan

Apa yang pasti Islam Hadhari bukanlah agama baru sebagaimana propaganda pihakpihak berkepentingan. Islam Hadhari juga tidak sekali-kali ingin menokok tambah perkara-perkara asas dalam agama sama ada yang menyentuh aspek akidah mahupun ibadah yang sudah cukup sempurna. Sebaliknya Hadhari hanyalah sekadar suatu manhaj atau pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk memperteguhkan kefahaman umat mengenai orientasi ketamadunan yang merupakan salah satu ciri terpenting yang ada pada agama Islam.

Istilah Hadhari yang digunakan dalam konteks hari ini juga merupakan suatu usaha untuk memperkuatkan lagi (taukid) sifat ketamadunan yang tercerna dalam Islam.

Di tengah-tengah kemelut umat tercari-cari jawapan dan kaedah untuk menangkis pelbagai usaha musuh untuk memperlekeh Islam inilah kerajaan Malaysia tampil merungkai salah faham yang wujud dengan menggarap idea ketamadunan dalam upaya membangunkan negara yang terbilang.

Sesungguhnya faham dan orientasi ketamadunan dalam Islam cukup kudus dan berbeza dengan apa yang difahami Barat. Ketamadunan dalam Islam sentiasa memperhitungkan perimbangan di antara kekuatan kerohanian dan kehebatan material. Malah konsep ketamadunan yang digarap dalam Islam mampu menampilkan manusia-manusia yang berwatak seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Idea ketamadunan inilah yang pernah satu ketika meletakkan Islam dan umatnya di persada kegemilangan hingga disegani seantero dunia.

Inilah hasrat dan idea murni yang cuba diketengahkan oleh kerajaan dalam menekankan istilah Hadhari agar dalam kesibukan negara memacu kecemerlangan, aspek kerohanian dan keinsanan tidak sama sekali diabaikan. Justeru tidak timbul isu meremehkan kesempurnaan Islam dengan pengenalan istilah Hadhari yang hanya digunakan sebagai penguat sifat-sifat Islam itu sendiri.

Kesempurnaan Islam sebagai agama sebagaimana yang terungkap dalam Al-Quran adalah suatu yang tidak perlu dipersoalkan lagi. Namun kesempurnaan itu tidaklah pula bermakna Islam menutup segala ruang dan peluang untuk umat berijtihad menggunakan akal fikiran menggarap idea-idea baru dalam mendepani kehidupan yang sentiasa berubah-rubah.

Hakikatnya dalam Islam ada perkara-perkara yang bersifat qat’iyyah (pasti dan putus) yang tidak harus diperdebatkan lagi. Ini termasuklah dalil-dalil Al-Quran dan Hadis yang jelas berkaitan dengan aqidah dan ibadah yang dikira sempurna dan tiada ruang untuk umat berbalah dan berbeza pandangan. Manakala hal-hal berkaitan dengan pentadbiran keduniaan seperti aspek-aspek muamalah dan siyasah (politik) adalah termasuk dalam ruang-lingkup dzanniyyah (samar dan tidak tetap) yang masih terbuka luas untuk umat berijtihad dan berbeza pendapat.

Justeru, bagi penulis jika dibandingkan antara isu Islam Hadhari dengan operasi ladang babi, kilang-kilang arak dan lesen-lesen judi pastinya amat ketara perbezaannya. Ini kerana babi, arak dan judi merupakan perkara-perkara yang jelas diharamkan secara qat’i melalui dalil-dalil Al-Quran dan Hadis Nabi. Sebaliknya istilah Hadhari termasuk dalam aspek ijtihadi yang masih membuka ruang untuk umat berbeza pandangan lantaran tiada dalil qat’i yang mengharamkannya.

Sebab itulah jika kerajaan Selangor benar-benar ikhlas dan komited kepada Islam, lebih baik diharamkan dulu operasi arak, judi dan idea pembinaan ladang babi terbesar berbanding program-program yang berkaitan dengan Islam Hadhari. Kita takut hanya kerana faktor politik umat sanggup menggadai prinsip dan maruah hingga berterusan berbalah sesama sendiri dalam isu yang tidak menguntungkan.

(Artikel ini sudah disiarkan dalam kolum saya di Mingguan Malaysia, 1 Jun 2008)