Archive for May, 2008

Basmi rasuah dengan merasuah?

Sunday, May 25th, 2008

IKLIM politik negara ketika ini sedang diserabuti isu hangat mengenai kemungkinan berlakunya lompat-melompat di kalangan ahli-ahli parti politik. Ketika ini pun masih lagi kuat kedengaran pemimpin-pemimpin parti pembangkang menyasarkan matlamat pembentukan kerajaan dalam masa terdekat dengan dakwaan kononnya akan berlaku ‘penghijrahan’ besar-besaran ahli-ahli parlimen kerajaan kepada pembangkang.

Apa yang lebih menggemparkan, apabila seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional Kota Belud mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan habuan yang sangat besar oleh sebuah parti pembangkang hingga dikatakan cukup untuknya “hidup senang-lenang sehingga tiga generasi”.

Lompat

Persoalannya mengapakah perlunya timbul polemik lompat-melompat parti ini setelah rakyat sudahpun membuat keputusan mutlak dalam pilihan raya lalu? Apakah barisan kepemimpinan politik hari ini sudah hilang kewarasan hingga sanggup menafikan kepentingan dan hak rakyat yang sudah memilih mereka demi memuaskan gelodak nafsu? Atau apakah kerakusan untuk berkuasa telah mencairkan akal-budi seseorang hingga sanggup menghalalkan perbuatan merasuah yang dikutuk agama?

Apa yang pasti Islam menetapkan prinsip yang jelas bahawa matlamat tidak sekali-kali menghalalkan cara. Semulia manapun niat yang disasarkan, sekudus manapun matlamat yang digariskan, hakikatnya tidak sekali-kali mengizinkan umat Islam bertindak sesuka hati. Niat yang baik mesti sentiasa diiringi dengan cara yang betul. Sebagaimana penegasan Allah dalam Al-Quran: Tidak ada kesamaan di antara perbuatan yang baik dan yang buruk. Yang buruk mestilah ditegah dengan cara yang baik. (Fussilat: 34).

Demikian jugalah prinsip yang harus dipegang dalam keghairahan umat berpolitik untuk merebut kuasa. Dalam Islam kuasa hanyalah alat untuk memastikan kepentingan agama terus dipertahankan. Sebab itulah kuasa tidak wajar didaulatkan sehingga melampaui nilai dan prinsip agama.

Malangnya penyimpangan persepsi mengenai kuasa sering kali menjerumus umat kepada perilaku songsang hingga menjadikan kuasa sebagai matlamat dan bukan sekadar alat. Lantas ramai mulai hilang pedoman hingga sanggup mengetepikan prinsip dan etika keagamaan.

Semakin ramai ahli politik hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita. Natijahnya manusia hilang kewarasan dan pertimbangan rasional hingga yang lebih tertonjol adalah nilai-nilai kebinatangan dalam amalan berpolitik.

Sebab itulah berita-berita mutakhir mengenai cubaan merasuah pemimpin-pemimpin parti yang sudah dipilih rakyat merupakan suatu dakwaan serius dan tidak boleh dipandang enteng. Apatah lagi jika yang ingin merasuah itu adalah parti yang mendakwa memperjuangkan agenda pembasmian rasuah secara total dalam pentadbiran kerajaan.

Habuan

Menawarkan wang habuan sebagai sogokan penghijrahan pemimpin-pemimpin parti dengan matlamat membentuk kerajaan secara mudah bukan sahaja membelakangi rakyat bahkan merupakan perbuatan rasuah terkutuk lagi menjijikkan di sisi agama. Perbuatan tersebut jika benar-benar berlaku hanya menzahirkan sifat hipokrasi parti politik yang bertopengkan prinsip dan nilai keadilan. Perlakuan seumpama ini juga secara jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan.

Kita seharusnya menyedari hakikat bahawa Islam tidak sekali-kali bertolak ansur dalam isu rasuah. Nabi s.a.w. secara tegas menyatakan: “Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka” (Riwayat At-Tirmizi). Dalam hadis yang lain, Rasulullah mengisyaratkan bahawa perbuatan rasuah amat keras dikutuk Allah: “Allah s.w.t. melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya” (Riwayat Ahmad).

Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan rasuah yang amat keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini. Al-Quran menegaskan: Dan janganlah kamu memakan (mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya) (al-Baqarah: 188).

Di sini jelaslah bahawa Islam berpendirian tegas dalam aspek pembasmian rasuah. Apa yang pasti Islam tidak merestui budaya politik ‘matlamat menghalalkan cara’ sebagaimana Islam tidak mewajarkan pembasmian rasuah dengan cara merasuah. Gejala budaya politik yang dangkal dan tidak beradab seperti ini wajib dikekang.

Ini kerana budaya politik yang tidak bermaruah akan hanya menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati. Penyimpangan budaya politik ini juga bakal menjalar kepada permasalahan yang lebih besar sehingga mampu meleburkan prinsip keagamaan, memecah perpaduan umat dan memporak-perandakan negara.

Justeru penulis menyarankan agar hentikanlah polemik dakwaan lompat-melompat parti yang tidak menguntungkan negara dan rakyat terbanyak. Hormatilah suara hati rakyat yang telah dimanifestasikan melalui keputusan pilihan raya lalu. Fokus pimpinan kini seharusnya ditumpukan kepada usaha membela nasib rakyat dan bukannya sibuk mencatur harta dan takhta.

Mudah-mudahan pemimpin-pemimpin politik kita masih punya integriti dan kekuatan memelihara kemurnian politik sebagai wahana aspirasi umat dan seterusnya menghalang budaya politik dangkal yang boleh menghancurkan negara. Sesungguhnya kestabilan negara yang terbina merupakan warisan yang tidak ternilai untuk dipelihara dan dipertahankan. Kegagalan mempertahankannya lantaran sikap kebinatangan politik yang meresapi diri hanya akan menjadi kita manusia bobrok yang tidak punyai nilai dan harga diri.

Umno Harus Perkasa Agenda Melayu-Islam

Sunday, May 11th, 2008

Hari ini usia UMNO mencecah 62 tahun. Kebiasaannya pada usia 62 tahun ini, seseorang manusia dianggap cukup matang terutamanya selepas menempuh pelbagai peristiwa suka duka dan pahit getir kehidupan. Namun pada usia sebegini, kadangkala manusia juga mampu tergelincir sekiranya segala pengalaman lalu tidak dijadikan iktibar untuk mendepani masa depan yang lebih mencabar.

Begitu jugalah dengan realiti UMNO sebagai sebuah organisasi politik yang sudah mencecah usia lebih enam dekad ini. Segala pengalaman lalu tidak kira yang manis mahupun pahit seharusnya diambil pengajaran oleh generasi pelanjut perjuangan agar masa depan mampu dilakar sebaiknya demi survival parti dan manfaat umat sejagat.

Hakikatnya, keupayaan UMNO untuk terus kekal relevan dalam mengemudi bahtera perjuangan bangsa amat tergantung kepada keupayaan warganya memahami realiti semasa yang melatari landskap sosial dan pemikiran masyarakat hari ini. Kegagalan menanggapi realiti dan mengolah strategi berkesan boleh mengakibatkan organisasi menjadi usang dimamah waktu hingga kehadirannya tidak lagi dirasai bahkan ketiadaannya pula disyukuri.

Apa yang lebih merungsingkan penulis andainya pendokong-pendokong UMNO semakin terhakis nilai perjuangan hinggakan yang lebih mengakar ialah nilai individualistik dan materialistik yang mampu menjahamkan parti. Memang ketika ini semakin banyak gejala yang mengisyaratkan kepudaran idealisme perjuangan di kalangan para pendokong perjuangan.

Politik wang

Mengakarnya gejala politik wang misalnya adalah salah satu petanda bahawa perjuangan politik sedang mengalami krisis pendangkalan nilai yang parah. Lebih membimbangkan penulis sekiranya generasi pewaris diselaputi pemikiran bahawa perjuangan parti merupakan kerjaya cari makan atau lebih serius lagi jika ditanggapi sebagai wahana mengaut keuntungan, memperkayakan diri, keluarga dan suku-sakat.

Akhirnya, parti akan semakin hilang manusia-manusia berjiwa pejuang yang sanggup berkorban jiwa-raga dan harta benda demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci. Sebaliknya yang lahir adalah petualang-petualang berjiwa rakus yang sentiasa bersiap-siaga menghidu peluang dan ruang untuk memuaskan serakah nafsu yang tidak pernah kenal erti puas.

Sebab itulah, usaha penjernihan harus segera dilakukan bagi membentuk idealisme luhur di kalangan generasi pewaris UMNO kini. Idealisme perjuangan yang dimaksudkan pastinya tidak boleh lari daripada matlamat asal perjuangan UMNO iaitu memartabatkan agenda Melayu-Islam sebagai teras perjuangannya.

Yang dimaksudkan dengan agenda Melayu-Islam tentunya meletakkan agama Islam sebagai teras perjuangan bangsa Melayu dalam konteks negara Malaysia. Inilah sebenarnya keunikan dan kedinamikan perjuangan kebangsaan di Malaysia yang tidak boleh terpisah daripada unsur-unsur penyepaduan antara elemen kaum dan agama.

Malah takrif Melayu itu sendiri menurut perlembagaan negara ialah seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu. Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-galanya termasuk maruah dan keperibadiannya. Sebarang usaha menanggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai kemelayuan itu sendiri. Melayu yang tidak menghayati Islam tidak mungkin berjaya muncul sebagai teras bangsa Malaysia.

Sejarah jelas membuktikan bahawa hubungan Melayu dengan Islam sebenarnya telah begitu sebati sejak kedatangan Islam pada abad ke-13 Masihi lagi. Semenjak itu Islamlah yang menerasi keperibadian Melayu, mendasari pemikiran Melayu dan seterusnya membentuk jatidiri Melayu. Bahkan Islam adalah satu-satunya benteng ketahanan umat Melayu.

Sepanjang sejarah perjuangan Melayu, Islam sentiasa menjadi sumber dinamika dan daya juang setiap pendukungnya. Walaupun satu ketika penjajah berjaya merobek jiwa dan citra Melayu hingga tumbuh kelompok peribumi pengagum dan pengagung Barat, namun tahun-tahun mutakhir menunjukkan Melayu semakin cenderung untuk kembali menyatu dengan Islam.

Generasi Pewaris Beridealisme Islam

Sesungguhya kita hanya mampu mencipta kegemilangan dengan kembali kepada akar budaya sendiri dan bukannya dengan cara mencedok dan menciplak budaya asing. Sebab itulah usaha mempersiapkan generasi pewaris yang kuat harus dimulai dengan penjanaan pendokong parti yang terbangun di atas dinamika ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental. Generasi muda yang dibangunkan di atas dasar tauhid pasti akan lebih memahami dan menjiwai amanah perjuangan umat yang bakal diwariskan kepada mereka.

Keterikatan kepada prinsip dan nilai-nilai agama dengan sendirinya membentengi mereka daripada segala bentuk penyimpangan yang boleh memporak-perandakan agenda besar perjuangan bangsa dan negara.

Namun kesedaran terhadap agama semata-mata tidak cukup untuk menjelmakan generasi Islam sejati. Kesedaran yang membuak-buak juga tanpa didasari kefahaman mendalam berasaskan ilmu yang sahih pastinya tidak akan mampu membentuk generasi Islam yang bertamadun dan berkualiti tinggi.

Sebaliknya apa yang lebih penting ialah bukan sahaja mewujudkan generasi yang ghairah dan berkesedaran tinggi terhadap Islam tetapi yang lebih utama menjana generasi yang benar-benar menjiwai Islam dalam segenap aspek kehidupan berpandukan suluhan ilmu yang benar.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan, kegagalan menanggapi Islam dengan faham ilmu sebenar boleh menjerumus umat ke arah kesesatan dan penyelewengan. Bahkan kesedaran tinggi sahaja tanpa didasari kekuatan ilmu pasti akan menjerumus umat kepada kebinasaan.

Justeru usaha membina generasi pewaris Melayu yang kuat merupakan jihad yang harus mendapat perhatian pucuk pimpinan UMNO terutamanya dalam menghadapi pelbagai realiti cabaran masa kini dan hari depan. Apa yang harus dikhuatiri, kegagalan mempersiapkan generasi pelanjut perjuangan yang beridealisme Islam yang luhur hanya mengundang kecelakaan bukan sahaja kepada survival parti malah masa depan bangsa, agama dan negara.

Cukuplah isyarat al-Quran mengenai keperluan membina generasi pewaris yang kuat menjadi pedoman buat kita semua: Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat yang lemah. (an-Nisa: 9).

(Artikel saya ini sudah tersiar di kolum Rencana Mingguan Malaysia, 11 Mei 2008)

Umat Harus Belajar Bersikap Tasamuh

Sunday, May 4th, 2008

Salah satu punca yang menyebabkan umat berterusan dihinggapi wabak perpecahan sehingga berterusan diperkotak-katikkan musuh ialah kerana terhakisnya nilai tasamuh dalam diri. Tasamuh ialah sikap berlapang-dada yang tercerna dalam jiwa seseorang sehingga terzahirnya sikap mudah memaafkan kesalahan orang lain bahkan bersedia menerima perbezaan pendapat dengan hati terbuka.

Sikap tasamuh merupakan cerminan keperibadian mukmin sejati yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam satu ketika. Bahkan nilai tasamuh jugalah yang telah memartabatkan umat Islam hingga dihormati kawan mahupun lawan di seantero dunia.

Malangnya sikap tasamuh semakin terhakis daripada jiwa dan peribadi umat hinggakan yang lebih terbudaya ialah sikap keras atau taksub kepada satu-satu pendirian sehingga langsung tidak memberi ruang kepada pandangan berbeza. Lebih menyedihkan apabila perbezaan pendapat seringkali ditanggapi secara negatif sehingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama Islam.

Fenomena ini kian membarah dalam masyarakat Islam ketika ini terutamanya dalam senario kerangka politik kepartian. Masih ramai yang terjerat dengan pemikiran politik partisan yang sempit dan jumud. Politik partisan yang dimaksudkan ialah politik memihak yang bukan pada prinsip kebenaran dan keadilan tetapi berasaskan sentimen assabiah melulu sehingga terhalangnya pertimbangan rasional dan objektif dalam menilai sesuatu perkara.

Keadilan

Politik partisan yang melulu ini turut meranapkan nilai keadilan kerana sesuatu pendirian yang ingin dilakukan bukanlah sangat berasaskan ‘siapa yang benar’ tetapi lebih terjurus kepada soal ‘dia orang siapa’. Akhirnya wujud kecenderungan melampau untuk mempertahankan kelompok sendiri tidak kira betul atau salah.

Gejala seperti inilah yang menghancurkan nilai-nilai tasamuh atau berlapang-dada sehingga tidak boleh lagi menerima pandangan berbeza lantaran terlalu terikat dan taksub dengan sentimen kelompok. Apa sahaja pandangan yang datang daripada kelompok sendiri dianggap benar semuanya manakala yang lahir daripada kelompok lain disanggah dan diperlekehkan.

Sebenarnya fenomena perselisihan umat yang berlaku ketika ini pernah diperdebatkan oleh para sahabat Nabi s.a.w.. Pernah satu hari, Saidina Umar r.a. bertanya kepada Ibnu Abbas r.a.: “Mengapa berselisih umat ini, sedangkan nabinya satu dan kiblatnya pun satu?” Seorang lagi sahabat bernama Said bin Mansur turut menambah: “Dan Kitabnya pun satu”.

Maka berkata Ibnu Abbas: “Ya Amirul Mukminin! Sesungguhnya telah diturunkan kepada kita al-Quran, maka kita membacanya dan mengetahuinya untuk apa ia diturunkan. Walaubagaimanapun kaum selepas kita membaca al-Quran tetapi tidak mengetahui untuk apa ia diturunkan, maka tiap-tiap kaum mempunyai pendapat sendiri; dan apabila terjadi demikian berselisihlah mereka”.

Imam As-Syatibi dalam buku karangan Abu Ubaid bertajuk Fadhail Al-Quran mengulas kenyataan Ibn Abbas tersebut. Katanya: “Apa yang dikatakan Ibn Abbas itu adalah benar, kerana apabila seseorang mengetahui untuk apa diturunkan sesuatu ayat atau surah itu, maka tentunya ia mengetahui kedudukan, takwil dan maksudnya, maka ia tidak pula melampaui batas padanya.

Tetapi bila ia jahil untuk apa sesuatu ayat atau surah itu diturunkan, maka lahirlah beberapa pendapat. Tiap-tiap orang mempunyai pendapat yang berbeza, sedangkan mereka tidak mempunyai kematangan ilmu yang dapat memimpin mereka kepada kebenaran. Akhirnya mereka sesat dan berkecenderungan menyesatkan orang lain.”

Memang tepat sekali ulasan dan analisis Imam Syatibi di atas. Kalau kita perhatikan senario umat Islam di Malaysia khususnya, terjadinya perpecahan banyak terkait kepada soal perselisihan mengenai isu-isu agama yang difahami dalam kerangka yang dangkal. Lebih malang lagi apabila isu-isu agama ditanggapi daripada kacamata parti dan bukannya berasaskan seluhan ilmu yang sahih.

Hakikat yang nyata, Islam tidak pernah menghalang perbezaan pandangan. Islam juga tidak sesekali menyekat kepelbagaian aliran pemikiran. Bahkan Islam menggalakkan umat agar memaksimumkan keupayaan akal kurniaan Allah untuk sentiasa berfikir dan bersikap kritis dalam menanggapi sesuatu perkara. Namun apa yang lebih mustahak, setiap perbahasan haruslah berpandukan ilmu dan fakta sahih, di samping menjaga adab dan tatasusila yang dianjurkan oleh syarak.

Perdebatan

Umum mengetahui bahawa perbahasan dan perdebatan adalah amalan tabii dalam mencari kebenaran yang pastinya wujud dalam realiti kerencaman pendapat dan kepelbagaian aliran pemikiran manusiawi. Ia juga adalah manifestasi kesuburan akal insan yang memerlukan proses lengkap-melengkapi antara satu sama lain bagi menatijahkan kehidupan yang lebih sempurna.

Apa yang pasti, perdebatan dan perbahasan dalam Islam mempunyai makna dan pengertian yang cukup besar dan kudus. Matlamat perdebatan dalam Islam bukan sekadar pentas meraih sokongan membuta tuli. Perbahasan juga tidak harus dijadikan amalan mencetus sentimen amarah atau benci. Lebih malang lagi sekiranya perbahasan hanya sekadar forum adu-domba dan kata-mengata tanpa sebarang resolusi.

Sebaliknya perbahasan dan perdebatan dalam Islam hanya bermatlamatkan mencari kebenaran dan keadilan. Sebab itulah Islam menggariskan dengan jelas prinsip, nilai dan adab-adab yang harus dipertahankan dalam perdebatan sebagaimana terumus dalam Surah an-Nahl ayat 125: Berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.

Justeru, umat harus belajar bersikap tasamuh atau berlapang dada dalam menerima pandangan berbeza. Janganlah kerana perbezaan fahaman politik kita sanggup menggadaikan prinsip keadilan yang menjadi tunjang agama. Janganlah disebabkan berbeza parti kita menafikan kebenaran hanya kerana yang menzahirkannya bukan daripada kelompok sendiri. Mudah-mudahan umat akan lebih matang hingga bersedia menerima kepelbagaian pendapat dengan hati yang terbuka.