Archive for April, 2008

Hentikan Polemik Ketuanan Melayu!

Sunday, April 27th, 2008

SELEPAS pilihan raya umum lalu, isu ketuanan Melayu merupakan antara isu yang menjadi topik paling hangat diperdebatkan di pelbagai forum dan lapangan hingga kini. Memanglah isu yang berkaitan dengan agenda Melayu sering kali menjadi topik yang paling mudah untuk dipolemikkan dalam kerangka masyarakat Malaysia yang berbilang kaum hari ini.

Apa yang lebih meresahkan, isu ketuanan Melayu ini juga tidak terlepas daripada menjadi isu politik di kalangan pimpinan parti-parti politik yang akhirnya lebih menimbulkan keserabutan di dalam masyarakat khususnya generasi pewaris yang rata-rata masih kurang memahami kerangka perjuangan Melayu dan latar belakang sejarahnya secara tuntas.

Persoalannya, mengapakah setelah lebih lima dekad kita merdeka, agenda Melayu masih menjadi isu yang semacam tidak mampu diselesaikan? Apakah kuasa yang ada di tangan orang Melayu kini sekadar retorik yang menanti saat untuk ditalkinkan? Atau apakah orang Melayu sendiri belum benar-benar memahami dan menghargai hak keistimewaan mereka sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Di kalangan orang Melayu sendiri pun ramai yang masih keliru dan gagal memahami konteks agenda Melayu yang cuba diketengahkan. Di satu pihak, isu Melayu semacam tidak mahu dibincangkan kerana seolah-olah tidak relevan dengan suasana dunia global hari ini yang begitu mengagung-agungkan prinsip kesamarataan dan kebebasan hak asasi manusia.

Ada juga yang berpandangan perbincangan mengenai Melayu adalah satu yang bertentangan dengan Islam kerana ia mencerminkan sifat asobiah jahiliah yang sesat. Malah tidak kurang juga yang cuba menjadi ‘hero’ Melayu dengan mengutarakan pandangan-pandangan melampau yang akhirnya terjerat dalam kerangka semangat kebangsaan sempit yang lompong makna dan nilai.

Melihatkan pelbagai kecelaruan perspektif yang timbul, maka tidak hairanlah ada pihak luar yang cuba menangguk di air keruh sehingga berani mengeluarkan pelbagai tuntutan yang mencabar kontrak sosial yang disepakati sebelum ini. Malah ada yang berani mencabar hak keistimewaan orang Melayu dengan mengesyorkan pelbagai pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan termasuk yang menyentuh soal agama Islam atas nama kesamarataan.

MencabarDalam keadaan ramai yang mulai mencabar hak keistimewaan Melayu ini pun, masih ramai orang Melayu yang tidak juga sedar diri dan berterusan terbelenggu dengan penyakit yang diistilahkan sebagai ‘mati rasa’. Penyakit ‘mati rasa’ yang semakin merebak ini menggambarkan betapa orang Melayu sudah mulai hilang rasa sensitif dan peduli terhadap isu yang menyentuh masa depan mereka sendiri.

Mungkin orang Melayu sudah lama hidup dalam zon selesa dengan tanggapan kononnya hak dan keistimewaan mereka akan sentiasa terbela dan dipertahankan buat selama-lamanya. Sebab itulah orang Melayu lebih sibuk memperdebatkan isu remeh-temeh daripada membincangkan agenda besar yang mampu mengangkat martabat mereka. Orang Melayu juga lebih cenderung membincangkan soal kuasa dan harta sehingga melupakan soal-soal yang lebih fundamental seperti menabur budi dan jasa.

Akibatnya mereka lebih rela bercakaran sesama sendiri daripada menggembleng tenaga mencari titik-titik persamaan yang boleh menjamin masa depan generasi pewaris bangsa. Kita harus ingat bahawa tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya semata-mata beralasankan mereka adalah peribumi yang menempati tanah pusaka nenek moyang. Tidak ada jaminan juga ungkapan keramat Laksamana Hang Tuah “Tak akan Melayu hilang di dunia” mampu dipertahankan selama-lamanya sekiranya tiada perencanaan dan pelan tindakan berkesan.

Sejarah telah membuktikan hakikat sunatullah yang mentakdirkan jatuh atau bangun, unggul atau hancurnya sesuatu bangsa amat bergantung kepada perilaku moral, tingkah dan olah mereka sendiri. Penentu nasib sesuatu bangsa adalah kudrat dan iradat Allah. Dialah yang berkuasa menyelamatkan dan Dia jugalah yang berkuasa menghancurkan dengan cara yang dikehendaki-Nya apabila kebejatan dan kemungkaran telah sampai kemuncaknya.

Mungkin ada baiknya orang Melayu kembali menelusuri sejarah silam sebagaimana yang digambarkan di dalam al-Quran berkenaan peristiwa-peristiwa yang menimpa kaum Lut, penduduk Madyan, kaum ‘Ad dan kaum Tsamud, Firaun, Qarun dan Haman.

Allah berfirman: Apakah mereka tidak memerhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu dan Kami curahkan air hujan yang lebat ke atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain. (Surah Al-An’am: 6).

Pernyataan tegas Allah ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Isu penggantian suatu bangsa dengan bangsa yang lain disebut berulang-kali di dalam al-Quran. Amaran keras ini dikhususkan kepada mereka yang lalai, ghairah dan khayal kepada kehidupan material duniawi hingga lupa kepada tanggungjawab dan idealisme perjuangan yang hakiki.

Obsesi dan kegilaan terhadap nilai-nilai kebendaan dan kuasa sering kali menjurus umat ke dalam kebinasaan, lantaran hilangnya pertimbangan akal waras hingga menjadikan mereka rakus, bakhil, mementingkan diri sendiri dan tergamak melakukan apa sahaja termasuk mengambil hak orang lain sewenang-wenangnya.

Justeru sudah tiba masanya umat Melayu kini dikejutkan daripada dibuai mimpi-mimpi indah di siang hari. Orang Melayu kini harus diterjah masuk ke alam realiti. Malah orang Melayu perlu disuntikkan kesedaran dan kefahaman yang utuh untuk kembali menginsafi sejarah seterusnya mengolah masa depan dan hala tujunya dengan lebih berkesan agar tidak hancur dimamah zaman.

(Artikel saya yang disiarkan pada 27 April 2008 di kolum Mingguan Malaysia)

Kekang fenomena Khawarij moden

Sunday, April 20th, 2008

KESEDARAN terhadap Islam semakin mengakar dalam masyarakat khususnya generasi yang lahir pascamerdeka dan melalui sistem pendidikan berorientasikan dasar penerapan nilai-nilai Islam yang diperkenalkan kerajaan. Natijahnya Islam tampak kian menyubur dalam masyarakat. Namun kesedaran terhadap agama semata-mata tidak cukup untuk menjelmakan generasi Islam sejati.

Kesedaran yang membuak-buak tanpa didasari kefahaman mendalam berasaskan ilmu yang sahih pastinya tidak mampu membentuk generasi Islam yang bertamadun.

Sebaliknya, yang lebih penting ialah bukan sahaja mewujudkan generasi yang ghairah dan berkesedaran tinggi terhadap Islam tetapi lebih utama menjana generasi yang benar-benar menjiwai Islam.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan, kegagalan menanggapi Islam dengan faham ilmu sebenar boleh menjerumus umat ke arah kesesatan dan penyelewengan. Bahkan kesedaran tinggi sahaja tanpa didasari kekuatan ilmu pasti menuntun umat kepada kebinasaan. Berapa ramai yang telah tergelincir dalam kesesatan lantaran perjuangan hanya berasaskan retorika semangat yang lompong jiwa dan dangkal akal rasionalnya. Tidak sedikit yang mendabik dada berjuang atas nama Islam tetapi berpijak di atas tempelan semangat membuta tuli semata-mata yang akhirnya terjerumus kepada sikap dan tindakan pelampauan yang sesat.

Perjuangan

Hakikat yang harus difahamai perjuangan memartabatkan Islam tidak seharusnya ditanggapi sebagai lesen besar bagi menghalalkan sebarang tindakan melampau atau sebagaimana diistilahkan al-Quran sebagai ‘al-ghuluw’ atau ekstrem yang berpaksikan hawa nafsu.

Allah secara tegas mengingatkan kita didalam al-Quran: Katakanlah! Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampau dengan cara tidak benar dalam agama. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka juga tersesat dari jalan yang lurus. (al-Maidah: 77).

Kecenderungan melampau jugalah yang sering kali menjerumus segelintir umat ke dalam jurang mengkafirkan saudara seislamnya sehingga memecahkan perpaduan dan memutuskan ikatan ukhuwah yang menjadi teras kekuatan umat Islam.

Gejala ini bukanlah baru dalam sejarah Islam. Pada awal sejarah Islam, kita disaksikan kemunculan kelompok Khawarij yang terkenal sebagai golongan yang kuat beribadah dan paling kuat berpegang kepada syiar-syiar ibadah. Namun, amalan mereka langsung tidak diterima Allah lantaran sikap angkuh dan bongkak mereka hingga merendahkan amalan dan ibadah orang lain bahkan sanggup mengkafirkan saudara seislamnya.

Nabi Muhammad s.a.w. sendiri memberi amaran akan kehadiran kelompok Khawarij ini kepada sahabat-sahabat baginda sebagaimana sabdanya: Sifat golongan itu ialah sentiasa memandang rendah sembahyang mahupun bacaan al-Quran orang lain. Namun mereka pada hakikatnya keluar dari agama sebagaimana anak panah keluar dari busurnya. Rasululllah seterusnya menyebutkan tanda-tanda mereka seperti berikut: “Mereka memerangi orang Islam dan membiarkan penyembahan berhala.”

Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Asohwatul Islamiyah Baina al-Juhud wa Tatarruf turut memperincikan sifat kelompok yang menyerupai golongan khawarij yang digambarkan Rasulullah. Menurut beliau, dalam realiti hari ini, wujud kelompok khawarij moden yang berkecenderungan melampau hingga bertindak mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan.

Kebongkakan dan keangkuhan ini menjurus mereka mengkafirkan pemerintah yang dianggapnya tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah. Mengkafirkan yang diperintah kerana dianggapnya reda dengan pemerintah dan mengikut sahaja hukum yang tidak diturunkan Allah.

Kelompok pelampau seperti ini mungkin lupa akan sabda Nabi s.a.w. yang melarang keras seseorang menuduh saudaranya yang lain kafir sebagaimana tercatat dalam sebuah hadis sahih: Siapa berkata kepada saudaranya: ‘Hai kafir’, maka sesungguhnya telah kembali dengannya salah seorang keduanya. Ini bermakna selama yang lainya tidak kafir dengan yakin, maka akan kembali tuduhan itu kepada orang yang menuduhnya.

Al-Qaradawi seterusnya mengulas bahawa orang yang masuk Islam dengan yakin tidak harus mengeluarkannya daripada Islam. Yakin tidak digugurkan dengan syak. Perbuatan maksiat tidak mengeluarkan seseorang Muslim daripada Islam, hatta dosa-dosa besar seperti membunuh, berzina, minum arak tidak menjejaskan aqidah mereaka selama tidak memandang remeh hukum Allah atau menolak dan tidak menerimanya.

Syariat jelas membezakan di antara hukuman membunuh, berzina dan minum arak. Andainya semua kufur tentu semuanya dihukum dengan hukuman murtad. Sebab itulah kecenderungan mengkafirkan seseorang oleh golongan pelampau agama adalah ditolak dengan muhkamat yang nyata dari kitab Allah dan sunah Rasul-Nya.

Menyedari realiti wujudnya kelompok pelampau agama seperti kaum Khawarij yang pernah muncul dalam sejarah Islam inilah maka perlunya pemerintah berperanan menyatukan kefahaman umat terhadap Islam yang satu berasaskan suluhan ilmu yang sejati. Fenomena kemunculan Khawarij di zaman ini perlu dikekang sebelum umat berterusan berpecah belah hingga boleh memporak-perandakan kestabilan dan keharmonian sesama Islam.

(Artikel ini sudah disiar dalam kolum saya di Mingguan Malaysia, 20 April 2008)

Bermula Era Perjuangan Dalam Medan Politik

Monday, April 14th, 2008

Terlalu banyak polemik dan persoalan yang tercetus mengenai keputusan saya meninggalkan dunia akademik untuk terjun bergelumang dalam dunia politik. Ya, memang keputusan tersebut merupakan suatu yang amat sukar dan pastinya mengundang pelbagai reaksi positif mahupun negatif.

Namun, bagi saya keputusan yang diambil setelah melakukan solah istikharah secara berterusan dan perbincangan dengan ramai pihak termasuk keluarga dan sahabat-sahabat terdekat merupakan satu iltizam untuk turut menyumbang dalam proses islah dan dakwah dalam medan yang saya kira lebih besar maknanya kepada umat.

Sejak Bila Menyertai UMNO?

Saya lahir dalam keluarga yang memang sudah lama berkecimpung dalam dunia politik dan perjuangan UMNO. Arwah nenek saya, Puan Hajjah Khadijah binti Abdul Rahman(seorang guru agama) yang juga merupakan anak kepada Tok Selehor, ulamak Kelantan tersohor merupakan salah seorang pengasas Wanita UMNO Tumpat. Perjuangan memartabatkan Islam melalui UMNO kemudiannya diteruskan pula oleh ayahanda saya Dato’ Dusuki Ahmad yang pernah menjadi Ahli Parlimen Tumpat selama dua penggal (1982-1990). 

Sejak ayah tewas kepada PAS pada 1990 kerana krisis politik UMNO-S46, Tumpat dan Kelantan secara keseluruhannya masih belum lagi mampu diambil-alih UMNO hingga sekarang. Saya sendiri telah didaftarkan oleh ayah menjadi ahli UMNO sejak tahun 1994 lagi. Namun nama saya tercicir daripada keahlian apabila berlakunya persempadanan semula kawasan di mana, cawangan saya asal Kubang Batang Tengah (DUN Wakaf Bharu) dimasukkan ke dalam Parlimen Pasir Mas. Walau bagaimanapun, nama saya kembali didaftarkan di bawah cawangan baru Kubang Batang Barat yang kini kembali berada dalam Parlimen Tumpat dengan no. keahlian 03995678.

Aktif Dengan UMNO 

Sebelum ini, saya hanyalah ahli biasa yang tidak aktif, cuma sesekali terlibat sebagai penceramah jemputan dalam pelbagai seminar, forum dan majlis ceramah yang dianjurkan parti. Memang antara orang yang paling awal menjemput saya terlibat aktif dalam UMNO ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Dalam beberapa pertemuan peribadi saya dengan beliau seawal tahun 1999, Datuk Seri seringkali menyarankan untuk saya menterjemahkan idealisme Islam yang saya yakini ke dalam perjuangan UMNO. Bagi beliau, lebih baik melakukan perubahan dari dalam daripada terus dengan idea-idea melangit yang tidak membawa impak besar kepada masyarakat.

Pandangan beliau ada benarnya, namun, pada ketika itu saya belum benar-benar bersedia untuk terjun aktif dalam UMNO.  Apatah lagi saya masih menaruh cita-cita menyambung pelajaran ke luar negara hingga ke peringkat PhD.  Malah ketika di United Kingdom juga, kesempatan bertemu dengan beliau, Datuk Seri masih menyuarakan hasrat sama supaya sekembali ke Malaysia harus terus aktif dalam UMNO.

Sekembali ke Malaysia pada tahun 2005, saya meneruskan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Lantaran kesibukan saya dengan dunia akademik terutamanya dalam bidang perbankan dan kewangan Islam yang begitu ‘demanding’, hasrat untuk aktif dalam UMNO semacam hilang begitu sahaja dalam pemikiran. Malah saya begitu seronok dengan dunia akademik yang begitu tenang dan tidak menyerabutkan.

Perjalanan saya dalam dunia akademik juga agak pantas. Tidak sampai setahun kembali ke UIA, saya dinaikkan pangkat ke jawatan Penolong Profesor.Dalam dunia akademik, kenaikan pangkat bergantung kepada kelayakan dan usaha sendiri. Tidak perlu melobi sana-sini. Kalau sudah memenuhi syarat kelayakan seperti aktif dalam kajian dan penulisan ilmiah dalam jurnal-jurnal antarabangsa dan tempatan, seseorang itu boleh menghantar borang kenaikan pangkat. 

Malah atas saranan Dekan Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Prof. Dato’ Jamil Osman, saya sudahpun menghantar permohonan kenaikan ke jawatan Profesor Madya kerana sudah melepasi syarat minimum. Syarat minimum seperti jumlah mata bagi jawatan Prof Madya ialah 75 mata, sebaliknya saya sudah mengumpul 207 mata termasuk 9 artikel jurnal akademik antarabangasa.  Permohonan tersebut sudahpun diluluskan diperingkat Kulliyyah dan hanya menanti keputusan akhir di peringkat tertinggi universiti. 

Pelawaan Menjadi Calon

Dalam keseronokan berada dalam dunia akademik dan sedang berkira-kira untuk dinaikkan pangkat ke jawatan Prof. Madya, tiba-tiba saya ditakdirkan berhadapan dengan dilema besar……..untuk memilih antara AKADEMIK atau POLITIK!

Semuanya bermula apabila pada 11 November 2007 Datuk Seri Anuar Musa (DSAM)selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan berkunjung ke rumah saya di Petaling Jaya untuk memujuk saya menyertai barisan calon UMNO untuk pilihanraya yang bakal menjelang. Dalam pertemuan selama 2 setengah jam daripada pukul 9 malam hingga 11.30 pm yang turut dihadiri oleh ayah dan ibu saya, DSAM beriya-iya meyakinkan saya bahawa UMNO Kelantan perlukan kepemimpinan baru dan muda bagi mewarisi perjuangannya.

Saya agak kritis dalam menanggapi beberapa persoalan dasar dan pendekatan UMNO yang saya kira semakin pudar nilai perjuangan sejati. Bahkan saya turut mempersoalkan sejauh mana idealisme Islam boleh diterjemahkan dalam realiti UMNO yang begitu menggilai nilai materialisme sehingga rata-rata pemimpin hanya mengejar takhta dan harta.  

Namun, DSAM cuba memberikan keyakinan kepada saya bahawa UMNO sedang melakukan proses reformasi dalaman yang memerlukan lebih ramai pemimpin-pemimpin muda yang beridealisme Islam demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Pada penghujung pertemuan, saya hanya meminta masa untuk memikirkan dan berbincang dengan keluarga dan sahabat handai. Walaupun beriya-riya mendesak saya membuat keputusan segera, DSAM akhirnya bersetuju untuk memberikan saya tempoh masa untuk berfikir….AKAN DISAMBUNG

Jadikan masjid zon bebas parti politik

Monday, April 14th, 2008

Dalam kehidupan masyarakat Islam, masjid memainkan peranan yang amat besar dan luas. Masjid bukan sekadar tempat melakukan ibadah semata-mata. Andai kata fungsi masjid itu hanya terbatas sebagai tempat mengerjakan sembahyang, peranan itu telah dapat dicakupi oleh tempat-tempat lain sebagaimana hadis Nabi s.a.w.: Bumi ini seluruhnya telah dijadikan tempat sujud bagiku (Muttafaq ‘alaih).

Sejarah jelas membuktikan bahawa masjid berperanan besar sebagai pusat pembinaan tamadun Islam yang gemilang. Malah usaha pertama Nabi s.a.w. sesampainya di desa Quba dalam peristiwa Hijrah ialah mendirikan masjid. Peristiwa Nabi s.a.w. mendirikan masjid pertama di Quba dalam sejarah pengembangan Islam turut dinukilkan al-Quran: Masjid itu didasarkan atas asas takwa (at-Taubah:108).

Di Masjid Quba ini jugalah buat pertama kali umat Islam melakukan solat Jumaat. Ketika Rasulullah meninggalkan Quba bagi meneruskan perjalanan ke Madinah, unta yang ditunggangi Nabi s.a.w. dibiarkan mengemudi perjalanan yang akhirnya berhenti di satu tempat. Di tempat itulah, Rasulullah kemudiannya membeli tanah tersebut untuk didirikan pula masjid yang hari ini terkenal dengan nama ‘Masjid Nabawi’, sebagai pusat kegiatan memancarkan syiar Islam.

Semua ini dilakukan sesampainya di bumi Madinah sebelum baginda berfikir mendirikan rumah peribadi mahupun prasarana-prasarana lain. Hakikatnya, masjid dijadikan pusat penyebaran syiar Islam dan pembangunan modal insan yang paling berkesan. Di sinilah Rasulullah menjadikan tempat mengolah segala kepentingan mengenai pembinaan generasi Islam pertama yang disiapkan untuk menjadi suri teladan dalam menzahirkan generasi ‘Khayra Ummah’ atau ummah terbilang sebagaimana firman Allah: Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (Ali-Imran:110).

Selain daripada menjadi pusat dakwah dan penyebaran syiar Islam, masjid turut berperanan aktif menjadi faktor pemersatu umat. Sering kali jika berlakunya perselisihan mahupun pertentangan pendapat di kalangan sahabat-sahabat, masjidlah yang menjadi tempat pertama untuk dituju bagi mendapatkan Rasulullah. Institusi masjid juga berperanan aktif sebagai wahana memupuk semangat jihad yang tinggi di kalangan sahabat Nabi.

PermasalahanMalah sekiranya wujud isu-isu penting yang perlu disampaikan kepada masyarakat yang menyentuh pelbagai permasalahan kehidupan, seruan-seruan popular yang sering dibuat adalah: “Assolah Jamiah - Assolah Jamiah“. Maka berhimpunlah seluruh warga Madinah di masjid untuk mendengar segala peringatan dan pedoman yang disampaikan Nabi s.a.w.

Pernah satu ketika Rasulullah turut menyediakan tempat tinggal sementara di pekarangan masjid bagi sekelompok sahabat yang tidak berwaris dan tidak mempunyai tempat tinggal. Mereka yang diketuai oleh sahabat tersohor Abu Hurairah turut dikenali dengan julukan istilah ‘Ashabus-Suffah’.

Sejarah juga jelas menukilkan bagaimana masjid turut menjadi pusat perawatan tentera yang cedera di waktu-waktu peperangan. Khemah yang didirikan di pekarangan masjid cukup terkenal dengan nama ‘Khaimah Ummi Rufaydah’ yang turut menjadi tempat sabahat tersohor Sa’ad bin Mu’az dirawat.

Demikianlah besarnya peranan masjid di zaman Nabi yang menjadi pusat pelbagai kegiatan umat Islam. Apa yang pasti sebagai pusat penyebaran dakwah dan kesatuan umat, masjid bukan setakat menjadi pusat ibadah secara ritual semata-mata. Masjid bukan sekali-kali menjadi medan adu domba dan tempat berebut jawatan. Sebaliknya institusi masjid terbukti sebagai pusat penyatuan dan penggemblengan kekuatan umat yang paling ampuh.

GelanggangNamun apa yang menyedihkan dalam senario hari ini, sering kali masjid disalahgunakan sebagai gelanggang kempen parti-parti politik berkepentingan. Adu domba, maki hamun, kata-mengata dan fitnah-memfitnah bagaikan menjadi fenomena lumrah di masjid-masjid terutamanya pada musim pilihan raya.

Ramai yang menyalahgunakan tauliah mengajar di atas masjid-masjid dengan mengambil kesempatan memasarkan dan mengindoktrinasi fahaman dan ideologi parti politik tertentu. Akhirnya, masjid yang seharusnya menjadi faktor pemersatu bertukar menjadi pentas adu domba dengan alunan cacian, makian dan diselang-selikan dengan alunan ayat-ayat suci Allah bagi meraih sokongan murahan.

Justeru sudah tiba masanya agar peranan dan fungsi masjid kembali dijernihkan. Masjid seharusnya dikembalikan dinamismenya sebagai pusat kecemerlangan umat baik dari segi ibadah, keilmuan, kegiatan muamalah harian dan yang lebih mustahak ialah sebagai pusat pemersatu umat Islam.

Sebab itulah penulis berpandangan masjid wajar dijadikan zon bebas parti politik. Ini menuntut kesediaan dan ketulusan semua agar tidak menyalahgunakan masjid untuk berkempen dan menanamkan ideologi parti masing-masing. Sesungguhnya kedudukan masjid wajar melangkaui sempadan dan geografi parti dan fahaman politik.

Sebagai pusat penyebaran syiar Islam, masjid tidak wajar diperalatkan untuk penyebaran fahaman parti yang sering kali memecah kesatuan dan merungkai kesepaduan umat. Sebaliknya institusi masjid harus dijadikan benteng terakhir mempersatu umat yang ketika ini begitu ghairah dan galak berpolitik. Dengan itu, sekurang-kurangnya kita masih boleh bermegah kepada orang lain bahawa umat Islam masih mempunyai lapangan yang mampu mempersatukan mereka tanpa mengira latar ideologi politik masing-masing.

(Artikel ini sudah disiarkan pada 13 April 2008, Mingguan Malaysia)

Dasar Afirmatif Selaras Keadilan Islam

Monday, April 14th, 2008

SEMENJAK berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, semakin ramai ahli politik yang mula menyuarakan pandangan untuk memansuhkan dasar-dasar kerajaan bersifat afirmatif terutamanya Dasar Ekonomi Baru (DEB). Gambaran yang sering dicorakkan seolah-olah DEB merupakan satu dasar zalim yang menafikan hak kesamarataan setiap warga Malaysia dari pelbagai kaum.

Ternyata dasar afirmatif seperti DEB merupakan satu dasar yang memberi sedikit keistimewaan kepada kaum peribumi dengan menyediakan peluang dan ruang kepada mereka untuk menyertai sektor ekonomi secara lebih efektif. Namun, DEB tidak sesekali menyampingkan kaum-kaum lain untuk turut terlibat aktif dan berkongsi kekayaan ekonomi negara.

Matlamat DEB hanyalah untuk mengurangkan jurang ekonomi di kalangan masyarakat terutamanya di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Hakikat yang harus kita sedari, kesan peninggalan penjajah British yang menggunakan dasar pecah dan perintah dalam sistem pentadbirannya telah mengakibatkan status sosial dan ekonomi masyarakat daripada pelbagai kaum menjadi tidak seimbang.

Status

Jurang ekonomi dan status sosial yang begitu melebar di antara masyarakat peribumi berbanding kaum pendatang yang dibawa masuk oleh Inggeris adalah manifestasi sikap penjajah yang berusaha merenggangkan hubungan, merungkai persefahaman dan memecah perpaduan antara kaum.

Sebab itulah selepas merdeka, walaupun pembentukan persefahaman melalui apa yang dinamakan kontrak sosial yang menjamin beberapa hak dan keistimewaan bumiputera dan bukan bumiputera termeterai, isu perpaduan masih menjadi topik yang belum benar-benar mampu dijiwai secara tuntas. Malah pintu prejudis dan perasaan tidak puas hati sering menjadi faktor pencetus kerenggangan hubungan antara kaum.

Peristiwa 13 Mei 1969 umpamanya, telah melakar titik hitam dalam lipatan sejarah negara apabila perasaan tidak puas hati dan prejudis sesama rakyat dimanifestasikan dalam bentuk pergaduhan berdarah sehingga negara terpaksa diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Parlimen digantung buat beberapa ketika.

Selepas diselidiki, penyebab utama tercetusnya tragedi ini ialah perasaan prejudis dan tidak puas hati yang membuak-buak di antara kaum lantaran ketidakseimbangan yang ketara dalam ekonomi dan status sosial. Sebab itulah munculnya Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Bahasa dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadi tindakan afirmatif kerajaan bagi menzahirkan perpaduan negara yang sejati.

Dari perspektif Islam, dasar-dasar afirmatif seperti ini merupakan sebahagian daripada tuntutan siyasah syariyyah yang memberikan keluasan kepada pimpinan untuk menggunakan kebijaksanaan dalam mentadbir urusan rakyat secara berkesan. Yang penting prinsip keadilan harus sentiasa dijunjung manakala keamanan dan kestabilan hendaklah dipertahankan.

Jika dikaji sejarah, Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menggunakan dasar afirmatif iaitu memberikan keistimewaan kepada golongan kurang bernasib baik bagi mengurangkan jurang ekonomi antara kaum. Umpamanya dalam peristiwa pembahagian harta fai’ yang dirampas daripada kaum Yahudi Bani Nadhir.

Rasulullah menggunakan kebijaksanaan politik dengan membahagikan harta tersebut kepada kaum Muhajirin dan bukan kepada kaum Ansar kecuali kepada dua orang di antara mereka yang miskin iaitu Sahal ibn Hanif dan Abu Dajanah. Selaku ketua negara, baginda membuat percaturan sebegitu demi menegakkan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat Madinah.

Rampasan

Nabi s.a.w. telah menjadikan harta rampasan (fai’) tersebut sebagai satu peluang untuk bertindak secara afirmatif bagi meningkatkan taraf ekonomi kaum Muhajirin dan merapatkan jurang perbezaan antara mereka dengan saudara-saudara mereka dari kalangan Ansar. Tujuannya bagi memastikan keadilan dan kestabilan mampu dikecap dalam suasana Madinah yang dilatari dengan struktur masyarakat dari pelbagai kaum dan kabilah.

Peristiwa ini kemudiannya dinukilkan Allah dalam al-Quran: Apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk bandar maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu sahaja (Al-Hashr:7).

Demikianlah, dasar afirmatif yang pada hakikatnya memenuhi aspirasi keadilan dalam Islam. Apa yang pasti prinsip keadilan bukanlah bermakna semua orang harus diperlakukan sama-rata. Sebaliknya kezaliman pula yang akan menjelma apabila rakyat yang berlainan taraf sosial dan ekonomi diperlakukan secara sama.

Sebab itulah keadilan yang hakiki wajar mengambil kira pelbagai faktor termasuk latar situasi dan realiti setiap orang sebelum melaksanakan sesuatu tindakan demi menjamin kelangsungan kebaikan dan kesejahteraan. Walau bagaimanapun penilaian dan proses pembaikan harus sentiasa dilakukan agar setiap dasar yang dilaksanakan tidak pula disalahgunakan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

(Artikel sudah disiar pada 6 April 2008 dalam kolum saya di Mingguan Malaysia)

Buang Sikap Fanatik Kelompok

Monday, April 14th, 2008

HADIS-hadis terakhir Nabi s.a.w. banyak memaparkan perihal keperihatinan dan kerunsingan baginda terhadap situasi umat Islam pada akhir zaman.

Sebab itulah ungkapan ‘umatku” diulang-ulang dan merupakan lafaz kata terakhir Nabi s.a.w. yang didengari isteri baginda Saidatina Aisyah r.a. sebelum diwafatkan oleh Allah.

Demikianlah kuatnya kasih dan sayang Nabi s.a.w. terhadap umat baginda sehinggakan pada saat-saat akhir hayat terus resah memikirkan nasib umat. Antara yang paling dibimbangi Rasulullah s.a.w. sebagaimana diungkapkan dalam banyak hadis ialah senario perpecahan di kalangan umat Islam yang diakibatkan oleh pelbagai aliran pemikiran dan pertentangan pendapat.

Walaupun hakikatnya Islam tidak pernah menolak kepelbagaian pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan tajam sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan matlamat ditentang sama sekali.

Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-‘ijab bi al-ra‘yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak merbahaya yang sedang menjalar dalam urat saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu.

Kejahilan

Sesungguhnya kedatangan Islam kepada umat manusia bertujuan membebaskan mereka daripada kejahilan dan kejumudan kepada pemikiran yang bebas dan merdeka yang dibimbing oleh cahaya wahyu Ilahi. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menegaskan: Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah lalu dia mati, maka dia mati jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada assabiah atau marah kerana assabiah maka kematiannya adalah jahiliah. (Riwayat Muslim, An-Nasai dan Ibnu Majah).

Perkataan al-Jamaah dalam hadis di atas tidaklah merujuk secara khusus kepada mana-mana parti politik ataupun pertubuhan-pertubuhan tertentu. Sebaliknya mengikut ulama Al-Hindawi dalam bukunya Dirasat Haul al-Jama‘ah wa al-Jama‘at, perkataan al-jamaah sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. merujuk kepada kesepakatan kaum muslimin, para sahabat Nabi s.a.w., para ulama, para pemerintah dan lain-lain.

Apa yang turut dipertegaskan dalam hadis di atas ialah penentangan Nabi berkenaan ketaksuban membuta tuli seseorang kepada kelompok yang disertainya. Sebab itulah Al-Sindi dalam kitab Syarh Ibn Majah menerangkan kalimah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) ialah fenomena ketaksuban melampau di kalangan masyarakat yang berhimpun dan menyokong atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil.

Sikap sebeginilah yang Nabi s.a.w. istilahkan sebagai assabiah atau ketaksuban melampau terhadap sesuatu kaum atau kelompok. Hinggakan Nabi secara keras dan tegas menentang sesiapa yang mendokong dan melebarkan faham assabiah yang menyesatkan. Dalam hadis lain disebutkan: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada assabiah, bukan sesiapa yang berperang atas assabiah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas assabiah. (Riwayat Abu Daud).

Istilah assabiah bukanlah bermaksud halangan Islam terhadap semangat cintakan sesuatu kaum atau kelompok. Dalam menjelaskan maksud assabiah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al-assabiah? Sabda baginda: “Kamu menolong kaummu atas kezaliman”.

Namun apa yang menyedihkan kini, umat Islam rata-rata dihinggapi penyakit assabiah yang menyesatkan. Penyakit assabiah atau ketaksuban kepada kelompok hingga tergamak menyesatkan kelompok yang lain bagaikan fenomena lumrah di mana-mana sahaja termasuklah di dalam negara kita yang tercinta ini.

Suasana

Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun emosi. Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong-pendokong wadah Islam sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, politiking, adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat ini.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan.

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

(Artikel sudah disiarkan di kolum saya Mingguan Malaysia 30 Mac 2008)