Archive for the ‘Uncategorized’ Category

Bukan Rasuah Tapi Sedekah…..!

Sunday, May 17th, 2009

Agak lama saya tidak mengemaskini blog ini. Memang sebulan dua ini agak sibuk dengan tanggungjawab asasi mengembangkan sistem kewangan Islam sebagai sistem kewangan alternatif yang bebas daripada riba. Ketika menulis ini pun penulis sedang berada di Bahrain menghadiri Persidangan Tahunan Kewangan Islam Antarabangsa selama dua hari sebelum ke Jakarta membentangkan kertas kepada para ulamak dan cendekiawan syariah mengenai instrumen kewangan Islam bagi menguruskan risiko.

Terdetik untuk mengulas isu yang benar-benar mengesankan hati penulis tatkala membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai kenyataan KETUA DEWAN ULAMAK PAS, Datuk Muhammad Daud Iraqi ketika merasmikan Muktamar PAS Bahagian Machang Rabu lalu yang mendedahkan penularan budaya rasuah dengan sogokan berbentuk pakaian dan jamuan dalam pemilihan parti tahun ini.

Bagi yang skeptikal tentunya mengatakan bahawa isu ini hanyalah mainan media massa pemerintah yang membesar-besarkan sesuatu yang kecil. Namun ken yataan Mursyidul Am PAS sendiri Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang memperakui penularan gejala ini pastinya tidak ada sesiapa yang dapat menyangkal lagi. Apatah lagi Tuan Guru sendiri mengeluarkan ‘fatwa’ nya hari ini (lihat laporan hari ini dalam www.mstar.com.my )dengan mengatakan bahawa “kalau ada yang bagi rasuah tu ambil sahaja tapi jangan pangkah dia, biar dia rasa serik”. Tentunya bagi orang Kelantan fatwa ini bukannya fatwa baru, malah Nik Aziz pernah mengeluarkan fatwa sebegini ketika pilihanraya 1990 lagi.

Penulis tidak begitu terkejut dengan fenomena yang bagi sesetengah pihak yang mungkin dianggap sebagai suatu yang baru dalam PAS ketika ini. Namun hakikatnya, soal sogokan wang dan barangan memang sudahpun diamalkan PAS ketika pilihanraya umum lagi. Pengalaman penulis ketika menyertai secara langsung dalam PRU12 lalu, memang membuka mata penulis bahawa PAS sama sahaja dengan parti-parti politik lain yang menggunakan pelbagai cara termasuk penggunaan wang dalam pilihanraya.

Penulis sendiri pernah terserempak dengan segerombolan juru-juru kempen dikalangan Muslimah ketika berkempen dari rumah ke rumah. Ketika itu mereka baru sahaja keluar daripada sebuah rumah yang merupakan pengundi atas pagar. Pengundi wanita itu terus bertanya kepada penulis “Berapa yang Dr nak bagi pada saya, mereka tadi baru bagi RM50 yang diselitkan dalam Yasin (sambil menunjukkan wang dan yasin tersebut kepada saya”. Jawab saya “Saya tidak mahu menawarkan duit tapi hanya menawarkan khidmat”. Bagi saya perbuatan menyogok duit adalah satu perbuatan rasuah yang haram. Kalau menangpun dengan cara sedemikian, jawatan itu bukan sahaja tidak berkat malah membebankan kita pula.

Ini bukan kes terpencil, malah ia sudah menjadi rahsia umum bahawa PAS menggunakan wang sepertimana UMNO untuk membeli undi. Selepas pilihanraya, penulis pernah bertemu dengan seorang sahabat yang merupakan salah seorang pimpinan utama PAS. Penulis bertanya mengenai amalan sebegini. Jawabnya mudah bahawa perbuatan sedemikian dijustifikasikan sebagai sedekah dan bukannya rasuah.

Penulis membantahnya kerana bagi penulis rasuah tetap rasuah walau apa nama yang kita nak berikan. Ini berasaskan kaedah feqah yang jelas “العبرة بالمسميات لا بالأسماء ” (perumpamaan bagi sesuatu bukan pada namanya). Maksudnya, sesuatu itu bukan dinilai pada nama tetapi yang lebih utama ialah matlamat dan intipatinya.

Rasuah bermakna kita memberikan sesuatu dengan matlamat untuk mendapatkan pulangan atau imbuhan daripada apa yang diberikan itu. Contohnya, kita bagi duit walaupun dinamakan sedekah tapi kalau tujuannya untuk memastikan kita dapat pulangan berbentuk sokongan , maka ia merupakan satu bentuk rasuah yang diharamkan sama sekali.

Pendirian penulis dalam hal ini jelas, tidak kira UMNO mahupun PAS bahawa perbuatan rasuah iaitu menyogok dengan apa kaedah dan cara sekalipun tetap salah di sisi agama. Cuma yang dikesalkan penulis sikap sesetengah pimpinan PAS yang sanggup menjustifikasikan tindakan salah seperti ini dengan memberikan pelbagai hujah berdalilkan ayat-ayat Allah.

Mungkin elok penulis nukilkan amaran keras Allah dalam Al-Quran mengenai perihal orang yang berjual-beli ayat-ayat Allah demi kepentingan tertentu. Al-Quran menyebut: “Celakalah bagi orang-orang yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka lalu mengatakan bahawa ‘Ini adalah dari Allah’ untuk berjual-beli dengan harga yang murah. Celakalah segala perbuatan mereka itu dan hasil daripada perbuatan tersebut” (Al-Baqarah:79).

Justeru, penulis berharap marilah kita sama-sama kembali kepada ajaran Islam sebenar dan membebaskan diri daripada belenggu politik kepartian berteraskan asabiyah jahiliyyah hingga tergamak menggunakan ayat-ayat Allah hanya untuk menjustifikasi tindakan kita dan kelompok kita yang salah.  Yang Benar mesti dikatakan benar walaupun kebenaran itu datang bukan daripada puak kita. Begitu juga yang salah mesti dikatakan salah walaupun ia dilakukan oleh puak kita.

NAJIB Pelengkap TEORI RAHMAN

Friday, April 3rd, 2009

Desas-desus dan spekulasi yang cuba dimainkan oleh pelbagai pihak berkepentingan mengenai peralihan kuasa akhirnya terlerai apabila secara rasminya Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah jawatan pada pukul 10.10 pagi tadi.

Sepanjang dua tiga hari lalu, penulis menerima banyak sms dan pertanyaan melalui facebook yang menggambarkan bahawa Yang DiPertuan Agong tidak perkenan perlantikan Datuk Seri Najib. Lebih menyedihkan apabila Parti Keadilan Rakyat melalui Buletin Keadilannya tanpa rasa bersalah menyebarkan fitnah bahawa Majlis Angkat Sumpah dibatalkan. Kalau setakat ditulis diblog2 mungkin tidaklah dikisahkan sangat. Tetapi apabila sebuah akhbar rasmi parti yang kononnya bertunjangkan keadilan mengeluarkan dakyah sedemikian tentunya menggambarkan kedangkalan akhlak dan etika.

Walauapapun spekulasi yang tercetus apa yang mustahak sekarang negara sudah mempunyai PERDANA MENTERI KE-6 sekaligus menzahirkan TEORI RAHMAN yang dipopularkan oleh ramai pihak sejak beberapa dekad lalu.

Ada yang berkata kepada saya apabila Teori RAHMAN ini sudah lengkap ia membawa petanda bahawa BN dan UMNO akan terkubur. Ini bermakna PERDANA MENTERI Ke-7 nanti adalah merupakan pemimpin baru dikalangan barisan pembangkang.

Penulis bukanlah Pak Nujum dan tidak berhasrat untuk menilik masa depan yang hanya ALLAH mempunyai kuasa dan hak mutlak menentukan apa yang berlaku pada masa akan datang.

Apa yang lebih mustahak, ialah selaku nakhoda baru kerajaan Barisan Nasioanal dan UMNO, rakyat pastinya sedang menilai secara dekat mengenai prestasi parti pemerintah yang ketika ini dilanda pelbagai tohmahan dan dipalit dengan seribu satu persepsi negatif. Sama ada persepsi itu betul atau tidak bukanlah penting sangat dalam kerangka politik. Namun persepsi sedemikian perlu dijernihkan agar BN dan UMNO kembali dekat di hati rakyat.

Alhamdulillah, rata-rata pemimpin yang saya temuramah sepanjang mengendalikan program Dialog@1 menyedari hakikat ini dan senada dalam memberi penekanan bahawa parti termasuk pemimpin dan pendokong harus berubah atau diubah dan rebah.

Sama-samalah kita saksikan sama ada perubahan benar-benar berlaku di bawah kepimpinan Datuk Seti Najib ini. Sama-samalah kita berdoa agar Allah memberikan hidayah dan pedoman kepada kepemimpinan kita agar melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan baik, ikhlas, dedikasi dan integriti.

Soal-Jawab Mengenai Kewangan Islam

Saturday, February 28th, 2009

Berikut jawaban saya kepada Mat Takbir yang mencetuskan beberapa persoalan mengenai kewangan Islam. Saya mengalu2kan persoalan-persoalan daripada saudara-saudari pengunjung.

Mat Takbir,

Saya akan cuba menjawab persoalan2 yang dibangkitkan mengikut sedikit ilmu yang ada pada saya:

1. Tidak benar jika tanggapan mengatakan bahawa instrumen syariah yang digunapakai dalam sistem kewangan Islam negara agak longgar. Semuanya berpandukan kepada kontrak2 yang sah dari segi syarak dan menepati prinsip syariah. Cuma terdapat beberapa pertimbangan syarak yang perlu dibuat bagi mengelakkan kemudaratan kepada orang ramai.

Sebagai contoh, dalam prinsip muamalah Islam, jika berlaku kelewatan pelanggan melunaskan pembayaran, bank tidak boleh mengenakan sebarang penalti atau faedah (compounded interest) sebagaimana bank konvensional. Walau bagaimanapun, ulamak tempatan dan antarabangsa membenarkan ‘gharamah’ atau penalti dan ‘taawidh’ atau compensation yang minima dikenakan dengan syarat ia tidak boleh bersifat ‘compounded’ (penambahan faedah berterusan berasaskan harga pokok) dan segala duit yang diperolehi daripada penalti ini hendaklah disalurkan kepada kebajikan dan tidak boleh diguna oleh bank.

Kenapa ulamak membenarkannya kerana realitinya umat Islam sendiri tidak ‘Islamik’. Ketika Bank Islam mula2 beroperasi sekitar 1983, ramai yang ambil kesempatan atas kekangan bank yang tidak boleh mengenakan penalti. Atas faktor inilah untuk memastikan keadilan dan mengelakkan kemudaratan berasaskan prinsip usul-fiqh ‘daf’u darar’, ulamak membenarkan dengan syarat2 seperti diperjelaskan.

Ini salah satu contoh bagaimana dari segi operasi banyak pertimbangan syarak yang perlu dibuat mengambil kira ‘maslahah’ atau kepentingan umum terjaga.

2. Tidak baik menuduh ulamak Malaysia mengambil pendekatan ‘tasahul’ atau mempermudahkan secara berlebihan. Setiap fatwa yang dikeluarkan adalah berasaskan syura yang berbincang dan membuat kajian secara terperinci. Tidak dinafikan bahawa ada produk2 syariah yang diguna-pakai ketika ini agak kontroversi kerana tidak dipersetujui oleh majoriti ulamak muktabar seperti penggunaan bai al-`inah dalam produk2 perumahan, pembiayaan peribadi dsbnya. Pertimbangan pakar-pakar syariah pada ketika membenarkan penggunaan produk ini hanyalah bersifat sementara sehingga terdapat alternatif lain. Sebab itulah hari ini banyak bank yang sudah memulakan usaha memperkenalkan produk2 baru yang tidak kontroversi menggantikan `inah ini.

Saya sendiri di Affin Bank mengepalai usaha memperkenalkan produk-produk baru yang patuh syariah menggantikan produk2 kontroversi ini. Namun usaha ini dibuat secara berperingkat berasaskan prinsip ‘tadarruj’ bagi mengelakkan semua pihak daripada mengalami kemudaratan.

3. Fakta yang ingin diperbetulkan disini ialah bukannya Anwar yang memperkenalkan perbankan Islam. Perbankan Islam mula diperkenalkan pada tahun 1983 yang diusahakan oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir. Sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh beliau dan Menteri Kewangan Tengku Razaleigh telah dibentuk sebelum 1983 lagi iaitu selepas satu Sidang OIC di Jeddah yang melibatkan Menteri2 Kewangan Negara Islam sekitar 1979. Dalam persidangan ekonomi Islam yang pertama itulah tercetusnya idea menggerakkan sistem perbankan Islam yang bebas riba. Namun cuma 4 negara yang mengambil tindakan proaktif utk memperkenalkannya termasuk Malaysia, Iran, Sudan dan Pakistan. Ketika itu Anwar belumpun lagi terlibat dalam UMNO, jadi bagaimana nak dikatakan beliau yang mempelopori idea tersebut.

Peringkat awal hanya Bank Islam dibernarkan beroperasi selepas Akta Perbankan Islam 1983 diluluskan oleh Parlimen (Anwar baru menang bertanding dan menjawat jawatan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri). 10 tahun selepas itu kerajaan memperkenalkan pula SPTF (Skim Perbankan Tanpa Faedah) yang kemudiannya ditukar nama kepada Skim Perbankan Islam. SPI atau SPTF ini membenarkan bank2 konvensional beroperasi dengan membuka ‘windows’ atau perkhidmatan kewangan Islam seperti Bank Islam. Hukum membenarkan bank2 konvensional memperkenalkan produk2 Islam ini bukan pandangan minoriti bahkan diterima dan diguna pakai oleh majoriti ulamak antarabangsa.

Malah banyak negara-negara Islam selepas itu menggambil model Malaysia dalam operasi perbankan Islam sehingga hari ini.

Wallahuallam

Masyarakat Antarabangsa Sanjungi Sistem Kewangan Islam Malaysia

Friday, February 27th, 2009

Ketika ini saya masih berada di London menyertai delegasi Bank Negara Malaysia dan MIFC (Malaysian Islamic Financial Centre) mempromosi sistem kewangan Islam Malaysia. Delegasi yang berjumlah 20 orang diketuai Governor Tan Sri Zeti, Timbalan Governor Datuk Razif turut disertai oleh CEO-ceo bank-bank Islam tempatan, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Secara umumnya, masyarakat antarabangsa amat menyanjungi usaha kerajaan Malaysia mempromosi dan memartabatkan sistem kewangan Islam. Sehingga hari ini Malaysia adalah satu-satunya Negara Islam yang mempunyai sistem kewangan Islam yang bersifat holistik dan komprehensif.

Berbanding sesetengah negara Islam yang memperkenalkan sistem kewangan Islam secara picisan seperti adanya bank Islam atau insuran (takaful) Islam, kerajaan Malaysia melaksanakan sistem kewangan Islam secara holistik dengan satu sistem yang lengkap termasuklah sistem perbankan, takaful, pasaran modal Islam dan pasaran kewangan Islam. Disamping itu juga kerajaan Malaysia turut mengambil inisiatif membina institusi-institusi yang menjana modal insan berkelayakan dalam bidang kewangan Islam seperti penubuhan universiti kewangan Islam pertama (INCEIF) dan akademi antarabangsa kajian syariah mengenai kewangan Islam (ISRA).

Tidak ada satu negarapun yang mempunyai sistem kewangan Islam yang lengkap dan komprehensif seperti Malaysia. Namun apa yang menyedihkan masih ramai umat Islam sendiri yang tidak menyertai sistem kewangan yang bebas riba ini. Kalau mengikut perangkaan mutakhir, sistem kewangan Islam ketika ini hanya menguasai pasaran perbankan sekitar 17%. Ini bermaksud majoriti umat Islam (yang dianggarkan sekitra 60% populasi) masih menyimpan dan bermuamalah secara riba. Mereka lupa bahawa larangan Allah terhadap riba jauh lebih buruk berbanding perkara-perkara haram lain. Ini kerana dalam Surah Al-Baqarah ayat 277-278, jelas memberi indikasi bahawa Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang bagi mereka yang bermuamalah secara riba. Bahkan dalam satu hadis Nabi s.a.w. pernah bersabda bahawa sekecil-kecil dosa riba adalah seperti berzina dengan ibu kandung sendiri.

Justeru kesedaran dan pemahaman Islam harus diratakan seiring dengan apa sahaja usaha daripada pihak atasan. Apa guna ada sistem Islam kalau umat sendiri tidak mengamalkannya. Janganlah hanya bersemangat dan beretorik untuk melaksanakan Islam tapi diri sendiri pun tidak Islamik. Sebab itulah usaha dakwah harus mendahului retorik politik. Ini kerana, dakwah sentiasa merentasi kepentingan politik yang selalunya tidak diselaputi prejudis dan pertimbangan asabiyah kepartian sepertimana yang berlaku kini.

Mufti Pun Dihina Apabila Ketaksuban Mendominasi Diri

Sunday, February 22nd, 2009

Saya amat bersimpati dan rasa sedih tatkala membaca rencana temuramah Mingguan Malaysia dengan Mufti Perak Sahibus Samahah Datuk Seri Harussani Zakaria. Dalam temuramah tersebut beliau mengakui bahawa sepanjang 24 tahun menjawat jawatan mufti, cacian dan makian ketika inilah yang paling teruk beliau alami.

Cacian dan makian yang dialami itu hanyalah kerana beliau membuat kenyataan agar semua pihak menghormati dan taat kepada keputusan Baginda Sultan Perak dengan berhujahkan dalil Al-Quran dan As-Sunnah.

Malangnya mereka yang kononya berjuang atas landasan Al-Quran dan As-Sunnah jugalah yang terjebak dengan perbuatan yang melanggari Syariah Allah ini. Semuanya lantaran sikap asabiyah kepartian yang melampau hingga tergamak melanggari prinsip dan nilai yang ditetapkan Syarak.

Akibat terlalu taksub berparti jugalah manusia tergamak melakukan apa sahaja termasuklah perbuatan-perbuatan yang di luar batasan kemanusiaan dan akhlak Islam.

Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong- pendokong parti sehingga mengakibatkan terabainya matlamat utama parti yang sepatutnya memfokuskan kepada usaha menyelesaikan pelbagai masalah rakyat yang melanda. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, politiking, adu-domba, maki hamun dan perlumbaan menyesatkan satu sama lain.

Sebagai umat Islam, keghairahan berparti dan berpolitik mesti ada sempadan dan batasannya. Apatah lagi Nabi SAW sendiri menentang keras sikap ketaksuban membuta tuli seseorang kepada kelompok yang disertainya. Rasulullah SAW. menegaskan: Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada assabiah atau marah kerana assabiah maka kematiannya adalah jahiliah. (Riwayat Muslim, An-Nasai dan Ibnu Majah).

Al-Sindi dalam kitab Syarh Ibn Majah menerangkan istilah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) ialah fenomena ketaksuban melampau di kalangan masyarakat yang berhimpun dan menyokong atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil. Sikap sebeginilah yang Nabi istilahkan sebagai assabiah atau ketaksuban melampau terhadap sesuatu kaum atau kelompok.

Berbalik kepada isu Mufti Perak yang dimaki hamun ini, penulis kadangkala tertanya2, apakah Datuk Seri Harussani yang dulunya begitu disanjung parti2 pembangkang kerana sikapnya yang tegas dan kritis kepada pemerintah kini sudah beralih sikap hanya kerana satu kenyataan yang tidak menyebelahi pembangkang ketika ini.

Kalau benarlah begitu, maka jelaslah betapa ulamak yang diiktiraf mereka hanyalah ulamak yang menyokong pendirian mereka. Sedangkan ulamak yang adil dan tidak sealiran dengan mereka  pasti akan menerima nasib yang sama dengan Mufti Perak. Sedangkan Mufti seharusnya bersikap non-partisan dan wajib menegur sesiapa sahaja tidak kira datangnya daripada BN ataupun PR.

Sebab itulah penulis sentiasa berpendirian, Islam harus  melangkaui sempadan dan geografi parti dan fahaman politik. Islam tidak wajar diperalatkan mahupun diletakkan setaraf parti politik.

Sebaliknya Islam lebih tinggi daripada parti dan harus dijadikan benteng terakhir mempersatukan umat yang sedang galak berpolitik.

Dengan meletakkan Islam lebih tinggi daripada parti sahajalah akan memungkinkan terjelmanya budaya politik baru yang bebas daripada belenggu kefanatikan yang membawa kepada perlakuan mungkar dan membinasakan umat.

Demikian jugalah halnya dengan kedudukan Mufti yang seharusnya dihormati dan tidak dikecam hanya kerana sikap dan pendiriannya yang kadangkala tidak berpihak kepada sesuatu kelompok. Moga2 kita semua diberikan hidayah Allah untuk memperbaiki diri dan mengelakkan daripada perbuatan yang hanya mengundang kemurakaanNya.

Adakah PKR Menghalalkan Hubungan Seksual Sebelum Kahwin?

Wednesday, February 18th, 2009

Apabila YB Elizabeth Wong dengan tidak rasa bersalah dan malu mempertahankan hak kehidupan seksual beliau sebagai wanita bujang untuk menjalin hubungan sebelum kahwin tentunya mengundang pelbagai tanda-tanya.

Terdapat 2 isu pokok yang mendasari isu gambar bogel Elizabeth Wong. Pertama isu penyebaran gambar bogel tersebut yang pastinya tidak ada sesiapa yang berfikiran waras dan bermoral akan merestui perkara tersebut.

Kedua, kehadiran lelaki dalam rumah seorang wanita berstatus bujang yang tidur dalam keadaan terlanjang pastinya mencetuskan persoalan moral dan nilai yang besar.

Bukan sahaja agama Islam, malah tidak ada satu agamapun yang menghalalkan perbuatan sedemikian. Cuma bagi yang terasuh dan terdidik dengan nilai-nilai liberal barat yang menghalalkan apa sahaja atas nama kebebasan individu sahajalah yang akan berfikiran sebaliknya.

Justeru persoalan seterusnya apakah ini nilai dan prinsip yang PKR perjuangkan? Kita semua maklum betapa dalam pilihanraya lalu, PKR antara parti yang begitu ghairah mengambil calon-calon yang terkenal sebagai berfikiran liberal. Malah kelompok liberalist ini jugalah antara yang lantang memperjuangkan hak kesamarataan di antara agama, bahkan cuba mempertikaikan kedudukan Islam sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan. Elizabeth Wong adalah antara nama besar yang mewakili kelompok sedemikian.

Sebelum menuding jari dengan membawa teori konspirasi bahawa BN yang mendalangi penyebaran gambar bogel tersebut, pimpinan PKR terlebih dahulu harus memperjelaskan pendirian samaada mereka merestui pendirian Elizabeth Wong yang seolah-olah menghalalkan hubungan seksual sebelum kahwin sebagaimana kenyataannya semalam. Atau apakah pimpinan PKR akan membawa teori konspirasi baru dengan mengandaikan bahawa BN jugalah yang merancang dengan menghadirkan ‘teman lelaki’ tersebut dalam hidup Elizabeth Wong?

Pastinya kita hendak mengetahui pendirian Parti ISLAM SeMalaysia (PAS) dalam hal ini?

Mungkinkah Referendum Rakyat Terzahir dalam Pilihanraya Kecil P059 Bukit Gantang?

Monday, February 9th, 2009

Sebentar tadi kira-kira pukul 2 petang, saya menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat daripada Perak yang memaklumkan mengenai kematian Ahli Parlimen PAS Kawasan Bukit Gantang Roslan Shaharum (Al-Fatihah buat Allahyarham).

Ini bermakna satu pilihanraya kecil bakal diadakan dalam tempoh 60 hari. Menariknya pilihanraya kecil ini bakal diadakan di tengah-tengah kemelut politik Perak yang masih belum reda. Walaupun tidak mewakili keseluruhan negeri Perak, pada pandangan saya pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang pastinya akan ditanggapi oleh pelbagai pihak sebagai suatu referendum rakyat samaada mereka bersetuju atau tidak dengan perubahan kerajaan Perak secara ‘lompat parti’ yang baru sahaja berlaku.

Apatah lagi salah satu daripada DUN dalam Parlimen Bukit Gantang ini diwakili oleh ADUN yang mencetuskan kontroversi iaitu Kapt Mohd Osman Jailu (Bekas PKR) yang baru sahaja mengisytiharkan keluar parti untuk kekal Bebas dan menyokong kerajaan baru yang dibentuk BN. Tentunya, rakyat akan menilai sejauh mana pengundi di dalam kawasan DUN Changkat Jering itu bersetuju dengan pendirian ADUN mereka yang beralih arah menyokong BN.

Jika dilihat dari segi komposisi pengundi, majoriti pengundi adalah Melayu iaitu 63.57%, Cina 27.14%, India 9.12% dan lain-lain 0.16%. Dalam PRU12 lalu, Allahyarham Roslan Shaharum (PAS) memenangi kerusi ini dengan majoriti 1,566 undi. Beliau mendapat 20,015 undi mengalahkan Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi yang mendapat 18,449 undi.

Untuk pengetahuan semua, Parlimen Bukit Gantang sebelum ini diwakili oleh Ahli Parlimen dari parti Gerakan iaitu Ketua Wanitanya Datuk Tan Lian Hoe (sekarang ini Timbalan Menteri Penerangan) yang menewaskan pemimpin Muslimah PAS tersohor Dr Lo Lo Mohamed Ghazali dengan majoriti besar 8,888).  Kerusi ini kemudiannya dikembalikan kepada UMNO untuk ditandingi pada PRU12 lalu yang menyaksikan Datuk Tan Lian Hoe berpindah ke Parlimen Gerik (Beliau sekali lagi menang besar dengan majoriti 5,303 mengalahkan calon PAS dalam kawasan majoriti Melayu 73%).

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga DUN iaitu:

1. DUN N13 Kuala Sepetang yang dimenangi calon PKR Tai Sing Ng (7,285 undi) menewaskan calon BN See Tean Seng (6,721 undi) dengan majoriti 564.
2. DUN N14 Changkat Jering yang dimenangi bekas calon PKR iaitu Kapt Mohd Osman Jailu (9,411 undi) menewaskan Datuk Mat Isa Ismail dari BN (8,309 undi) dengan majoriti 1,102.
3. DUN N15 Trong dimenangi oleh calon BN iaitu Datuk Rosli Hussin (4,212 undi) menewaskan calon PAS Nor Azli Musa (3,296 undi) dengan majoriti 916.

Justeru jika penilaian dibuat berpandukan keputusan PRU12 lalu, secara umumnya BN dan PR mempunyai peluang yang hampir seimbang.

Sebab itulah pilihanraya kecil yang bakal diadakan kelak tentunya menarik lebih-lebih lagi ia berlaku dalam suasana politik Perak ketika ini yang masih haru-biru. Setiap parti yang bertanding tentunya ingin memastikan kemenangan bagi menjustifikasikan pendirian masing-masing dalam kemelut perubahan kerajaan Perak yang baru berlaku. Jika BN menang umpamanya, tentu sekali bakal diuar-uarkan bahawa rakyat menyokong perubahan kepimpinan di Perak. Sebaliknya jika Pakatan Rakyat yang menang, maka berkumandanganlah pencacai-pencacai politik mengatakan bahawa BN tidak lagi diterima rakyat lantaran tindakan mereka menubuhkan kerajaan tanpa restu rakyat secara pilihanraya.

Walau-apapun sama-samalah kita menantikan episod seterusnya cerekarama politik Perak yang semakin lama semakin menarik. Bak saranan sahabat saya Nobisha (Norizan Sharif) dalam blognya, Dah Beli Popcorn?

KAMA TADIINU TUDAANU @ What Goes Around Comes Around

Sunday, February 1st, 2009

“Cubaan menarik anggota Pakatan Rakyat menyertai BN adalah tidak demokratik dan menafikan hak rakyat yang memilih kerajaan negeri yang ada pada hari ini pada pilihanraya lepas”. Begitulah lebih kurang kata-kata yang dihemburkan oleh Menteri Besar Kerajaan Campuran DAP. PAS dan PKR, Datuk Seri Nizar Jamaluddin tatkala menuduh Barisan Nasional (BN) cuba jatuhkan kerajaan negeri itu secara tidak demokratik ekoran kehilangan dua Exco negeri ketika sidang akhbar yang ditayangkan dalam Buletin 1.30 sebentar tadi.

Mendengar kata-kata Nizar itu, saya tersenyum sendirian. Agaknya Nizar terlupa. Pihak parti Pakatan Rakyat juga secara terbuka bercita-cita hendak menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baru pada 16 September lalu dengan mengajak Ahli Parlimen BN lompat parti.

Walaupun itu tidak berlaku tetapi jika ada ahli BN benar-benar lompat parti menyertai mereka, mereka kata itu demokrasi namun jika ada kalangan mereka yang telah sedar dan ingin kembali ke BN, itu dituduh sebagai sudah dibeli.

Begitulah senario politik hari ini yang bagaikan sudah hilang makna dan nilai. Masing-masing akan cuba menegakkan benang yang basah dengan menganggap diri dan parti mereka sahaja betul dan kudus, Sedangkan apa yang datang daripada orang lain khususnya parti lawan semuanya salah. Walau terkena atas batang hidung sendiripun masih boleh berdolak-dalih.

Penulis sejak daripada awal berpendirian bahawa apa juga keputusan pilihanraya lalu, kita sewajarnya menerima pilihan rakyat dengan hati terbuka. Tidak perlu mencetuskan suasana ketidak-pastian terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini hingga menyebabkan kepentingan rakyat diabaikan.

Tindakan PR daripada awal menguar-uarkan penubuhan kerajaan secara ‘lompat-parti’ pastilah satu tindakan yang langsung tidak menghormati keputusan rakyat dan membelakangi prinsip demokrasi.

Saya pernah menulis pendirian ini dalam tulisan terdahulu dan dipertegaskan ketika diwawancara dalam program HUJAH TV9. Namun ramai yang membidas dan mengkritik atas alasan menghormati hak dan kebebasan setiap pemimpin terrsebut. Malah atas nama demokrasi jugalah mereka terus menyokong lompat parti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Tapi hari ini apabila terkena pada PAKATAN RAKYAT, dikatakan tidak demokratik dan tidak menghormati rakyat. Sebab itulah kalau kita berpolitik secara bermaruah, prinsip kita tidak harus berubah-rubah. Kalau kita tidak suka seuatu berlaku kepada kita, jangan pula kita sanggup melakukan perkara yang tidak disukai itu kepada orang lain.

Prinsip inilah yang disebut dalam Islam sebagai “KAMA TADIINU TUDAANU” bermaksud “Bagaimana kita lakukan begitulah kita akan diperlakukan”. Ia juga sinonim dengan pepatah Inggeris “What Goes Around Comes Around”.

UMNO Perlu BERUBAH Atau DIUBAH!

Monday, January 19th, 2009

Keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu sememangnya mengejutkan. Walaupun rata-rata memberikan gambaran bahawa keputusannya sudah terjangka sejak daripada awal, namun hakikatnya tidak begitu. Memanglah cukup mudah penganalisis membuat telahan begitu apabila keputusan sudah keluar. Tapi kalau disorot perbincangan2 yang dibuat samaada dalam media utama mahupun alternatif sebelum hari pemilihan semuanya memberikan gambaran seimbang bahawa pertembungan UMNO-PAS di Kuala Terengganu itu adalah sengit. Tidak ada yang berani menjangkakan secara tuntas keputusan yang bakal dikecap oleh mana2 pihak.

Secara teori berasaskan formula kelaziman memang UMNO atau BN jarang tewas dalam pilihanraya kecil. Ini kerana BN mempunyai banyak kelebihan apabila berhadapan dengan parti lawan dalam mana2 pilihanraya kecil. Namun formula ini nampaknya sudah tidak boleh diambil kira dalam suasana politik semasa hari ini yang semakin berubah.

Rakyat semakin matang dalam membuat pemilihan. Mereka tidak lagi bergantung kepada ‘gula-gula’ yang ditabur ketika musim pilihanraya. Penilaian mereka terhadap pemimpin juga tidak lagi berasaskan momokan nostalgia sejarah parti mahupun retorik-retorik yang dipersembahkan dalam bentuk pelbagai terutama dalam musim2 pilihanraya.

Trend semasa menunjukkan rakyat mahukan parti yang bukan sahaja ikhlas tetapi nampak ikhlas dalam memperjuangkan hak dan masa depan mereka. Mereka mahukan pemimpin yang bukan sahaja bersih tetapi nampak bersih dalam memastikan amanah rakyat terbela. Mereka juga mendambakan pemimpin yang bukan sahaja jujur tetapi nampak jujur dalam perawakan mereka.

Persoalannya apakah UMNO kini masih memiliki pemimpin2 yang dapat menyantuni hati nurani rakyat? Apakah UMNO bersedia berubah mengikut kehendak rakyat terbanyak? Atau apakah UMNO hanya mengambil kira kehendak segelintir ahli dan pemimpin2 berkepentingan yang hanya memperkira soal untung rugi ‘politik perut’ masing-masing.

Berbalik kepada isu pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini, bagi mereka yang berada di lapangan, cakap2 bahawa UMNO akan kalah sudah diperdendangkan sejak dari awal nama Dato’ Wan Farid diumumkan sebagai calon. Yang peliknya soksek2 sebegini bukan datangnya daripada PAS tapi dikalangan orang UMNO sendiri. Malah Tun Dr Mahathir sendiri turut menjangkakan kepayahan untuk UMNO menang dalam pilihanraya kecil tersebut kerana faktor calon yang dilabelkan sebagai ‘orang Pak Lah’.

Antara isu terbesar yang dibangkitkan ialah faktor peribadi Dato Wan Farid dan keterlibatan beliau dalam pakatan menjatuhkan Allahyarham Dato Razali Ismail dalam pemilihan bahagian hingga tewas sebagai Naib Ketua Bahagian. Sebab itulah UMNO bagaikan dibayangi fobia yang amat sangat kepada dosanya terhadap bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu, Razali Ismail bila mana BN seperti sudah kehabisan bahasa memuji dan memuja Razali. Tidak habis-habis BN terus memuji Razali di sepanjang kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Hinggakan Datuk Seri Najib sendiri mengumumkan penukaran nama sebuah sekolah di Kuala Terengganu dengan nama Razali.

Memang Allahyarham Razali seorang yang berkeperibadian mulia. Sebagai orang baru dalam parti yang diterjunkan sebagai calon ‘parachute’ dalam pilihanraya umum lalu, beliau dilihat calon bersih dan berintegriti. Namun beliau tewas dalam pemilihan parti kerana mempertahankan prinsip yang dipegangnya untuk tidak terlibat dengan politik wang dan pada masa yang sama menjadi mangsa kerakusan kepimpinan bahagian yang melihatnya sebagai ancaman.

Cerita Allahyarham Razali Ismail ini sebenarnya dendangan yang biasa didengari dalam realiti UMNO hari ini. Mereka yang berprinsip dan cuba mempertahankan prinsip terutamanya untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk rasuah politik pastinya akan terpinggir atau dipinggirkan oleh mafia2 bahagian yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Biasanya mafia2 ini diketuai sendiri oleh Ketua Bahagian yang takut jawatannya dirampas oleh mereka yang baru dan dilihat berpotensi menerajui parti pada masa hadapan. Fobia ini akan bertambah jika calon-calon baru ini adalah mereka berpelajaran dan dilihat berpengaruh bukan sahaja dikalangan rakyat malah diperingkat atasan. Akhirnya mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan pucuk-pucuk baru ini tidak akan berputik.

Budaya cantas-mencantas dan rasuah dalam politik UMNO kini tampak semakin menjadi-jadi terutamanya menjelang pemilihan parti yang bakal diadakan bulan Mac nanti. Cerita-cerita yang berlegar dikalangan perwakilan dan ahli-ahli UMNO kini semacam memberi kelebihan kepada mereka yang berduit dan bersedia membelanjakan duit dalam pemilihan parti ini.

Pemilihan bukan lagi bersandarkan kewibawaan dan ketrampilan calon tetapi kepada berapa wang yang sanggup dibelanjakan kepada perwakilan. Jawatan parti juga bukan lagi dilihat sebagai suatu amanah dan wahana menabur budi tetapi lebih kepada bentuk kemasyhuran dan wahana memenuhi serakah nafsu yang tidak pernah mengenal erti kepuasan.

Sebagaimana rakyat Terengganu menzahirkan kejelikan terhadap UMNO yang dilihat sebagai parti yang korup melalui undi mereka baru-baru ini, demikian jugalah natijah yang akan berlaku dalam pilihanraya umum akan datang kiranya UMNO tidak mahu berubah.

Jika inilah yang benar-benar berlaku dalam pemilihan parti akan datang, maka UMNO harus bersedia untuk ditalkinkan dalam pilihanraya umum akan datang.

Hudud Tidak Wajar Diperdagangkan

Friday, December 26th, 2008

Agak lama saya tidak mengemas-kini blog ini.  Sebenarnya sejak kebelakangan ini agak sibuk dengan tanggungjawab asasi dalam urusan kajian dan membantu institusi2 kewangan negara dalam melaksanakan prinsip syariah dalam bidang perbankan dan kewangan. Walaubagaimanapun, dalam kesibukan tugas2 harian ini, terasa terpanggil pula untuk melontarkan pandangan mengenai isu lama yang kembali diperhangatkan.

Saya seperti ramai di luar sana amat dukacita apabila Hukum Hudud seringkali diperdagangkan bagaikan bahan komoditi yang terdedah kepada suasana pasaran. Ada kalanya naik apabila permintaan di pasaran meningkat. Ada ketikanya pula merudum apabila permintaan menurun. Demikian jugalah dengan isu hudud ini. Mungkin juga isu hudud ini kembali hangat lantaran suasana ‘pasaran politik’ yang kembali aktif terutamanya menjelang pilihanraya kecil Parlimen  Kuala Terengganu.

Dua malam lepas ketika menikmati jamuan makan malam sempena Persidangan Dialog Antarabangsa Kewangan Islam, beberapa sahabat termasuklah bekas mufti dan profesor syariah turut melahirkan rasa kecewa dengan fenomena ini.  Mereka turut berkongsi kekesalan saya mengenai hal ini. Malah fenomena ini bukan hanya unik di Malaysia, malah mengikut seorang ulamak antarabangsa yang menghadiri majlis dialog tersebut, hukum hudud sudah semacam kewajiban sebagai bahan kempen terpenting bagi parti2 politik Islam di kebanyakan negara Islam terutamanya apabila hendak membezakan parti mereka dengan parti2 lain yang disifatkan sekular.

Bagi penulis, walauapapun tujuan isu hukum hudud diperdendangkan kini, kita selaku umat Islam seharusnya berasa dukacita kerana hukum Allah ini buat kesekian kalinya seolah-olah dipermain-mainkan dan diperdagangkan. Sekiranya parti-parti politik Islam benar-benar ikhlas untuk mempertahan dan memperjuangkan hukum Allah, mereka seharusnya duduk semeja untuk bermuzakarah sesama mereka untuk mencari titik persetujuan bagaimana kaedah atau pendekatan terbaik untuk melaksanakan hukum Syariah (tidak hanya terbatas kepada hukum hudud sahaja). Ini tidak masing-masing saling menyalahkan antara satu sama lain yang akhirnya mencetuskan stigma dan salah faham dikalangan bukan Islam terhadap hukum Allah. Seolah-olah hukum Allah ini hanya terbatas kepada soal-soal menghukum.

Hudud hanyalah sebahagian daripada hukum syariah yang berkait rapat dengan hal-ehwah jenayah. Secara umum, ulamak membahagikan syariah Allah kepada 3 aspek utama iaitu: Iktiqadiah (soal2 berkaitan dengan aqidah), Akhlaqiah (soal2 berkaitan dengan akhlak, moral dan etika) dan ‘Amaliyah. ‘Amaliah terbahagi pula kepada ibadah (hubungan diantara hamba dengan Tuhannya) dan muamalah (hubungan hamba sesama mereka). Aspek muamalah ini pula terbahagi kepada pelbagai cabang antaranya Ahwal Syaksiah (aspek kekeluargaan), Muamalah Maliah (pentadbiran ekonomi dan harta termasuk kewangan ISlam), Siyasah Syariiyyah (pentadbiran politik), Jinayah (hudud dan takzir) dan sebagainya.

Apa yang ingin penulis tekankan di sini ialah Syariah Allah merangkumi banyak perkara bukannya hanya tertumpu kepada hudud semata2. Di sinilah kadangkala penulis berasa sangsi mengenai keikhlasan pihak-pihak tertentu dalam memperjuangkan hukum hudud seolah2 ia merupakan keutamaan dalam pensyariatan hukum Allah. Kenapa tidak ditekankan aspek2 lain dalam Syariah yang lebih penting kalaupun tidak sama penting dengan Hudud ini.

Janganlah kerana kegilaan kepada kuasa kita sanggup memperjudikan hukum Allah. Janganlah kerana rakus berparti kita sanggup memperalatkan agama Allah. Hudud adalah hak Allah yang wajib kita semua pertahankan. Cuma dalam konteks perlaksanaannya sahaja memerlukan kebijaksanaan dari segi pendekatan merealisasikannya agar ia tidak menjadi fitnah dan tidak sekali-kali melanggari matlamat asas syariah (maqasid as-syariah) sebagaimana yang digariskan Allah.