Bukan Rasuah Tapi Sedekah…..!
May 17th, 2009Agak lama saya tidak mengemaskini blog ini. Memang sebulan dua ini agak sibuk dengan tanggungjawab asasi mengembangkan sistem kewangan Islam sebagai sistem kewangan alternatif yang bebas daripada riba. Ketika menulis ini pun penulis sedang berada di Bahrain menghadiri Persidangan Tahunan Kewangan Islam Antarabangsa selama dua hari sebelum ke Jakarta membentangkan kertas kepada para ulamak dan cendekiawan syariah mengenai instrumen kewangan Islam bagi menguruskan risiko.
Terdetik untuk mengulas isu yang benar-benar mengesankan hati penulis tatkala membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai kenyataan KETUA DEWAN ULAMAK PAS, Datuk Muhammad Daud Iraqi ketika merasmikan Muktamar PAS Bahagian Machang Rabu lalu yang mendedahkan penularan budaya rasuah dengan sogokan berbentuk pakaian dan jamuan dalam pemilihan parti tahun ini.
Bagi yang skeptikal tentunya mengatakan bahawa isu ini hanyalah mainan media massa pemerintah yang membesar-besarkan sesuatu yang kecil. Namun ken yataan Mursyidul Am PAS sendiri Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang memperakui penularan gejala ini pastinya tidak ada sesiapa yang dapat menyangkal lagi. Apatah lagi Tuan Guru sendiri mengeluarkan ‘fatwa’ nya hari ini (lihat laporan hari ini dalam www.mstar.com.my )dengan mengatakan bahawa “kalau ada yang bagi rasuah tu ambil sahaja tapi jangan pangkah dia, biar dia rasa serik”. Tentunya bagi orang Kelantan fatwa ini bukannya fatwa baru, malah Nik Aziz pernah mengeluarkan fatwa sebegini ketika pilihanraya 1990 lagi.
Penulis tidak begitu terkejut dengan fenomena yang bagi sesetengah pihak yang mungkin dianggap sebagai suatu yang baru dalam PAS ketika ini. Namun hakikatnya, soal sogokan wang dan barangan memang sudahpun diamalkan PAS ketika pilihanraya umum lagi. Pengalaman penulis ketika menyertai secara langsung dalam PRU12 lalu, memang membuka mata penulis bahawa PAS sama sahaja dengan parti-parti politik lain yang menggunakan pelbagai cara termasuk penggunaan wang dalam pilihanraya.
Penulis sendiri pernah terserempak dengan segerombolan juru-juru kempen dikalangan Muslimah ketika berkempen dari rumah ke rumah. Ketika itu mereka baru sahaja keluar daripada sebuah rumah yang merupakan pengundi atas pagar. Pengundi wanita itu terus bertanya kepada penulis “Berapa yang Dr nak bagi pada saya, mereka tadi baru bagi RM50 yang diselitkan dalam Yasin (sambil menunjukkan wang dan yasin tersebut kepada saya”. Jawab saya “Saya tidak mahu menawarkan duit tapi hanya menawarkan khidmat”. Bagi saya perbuatan menyogok duit adalah satu perbuatan rasuah yang haram. Kalau menangpun dengan cara sedemikian, jawatan itu bukan sahaja tidak berkat malah membebankan kita pula.
Ini bukan kes terpencil, malah ia sudah menjadi rahsia umum bahawa PAS menggunakan wang sepertimana UMNO untuk membeli undi. Selepas pilihanraya, penulis pernah bertemu dengan seorang sahabat yang merupakan salah seorang pimpinan utama PAS. Penulis bertanya mengenai amalan sebegini. Jawabnya mudah bahawa perbuatan sedemikian dijustifikasikan sebagai sedekah dan bukannya rasuah.
Penulis membantahnya kerana bagi penulis rasuah tetap rasuah walau apa nama yang kita nak berikan. Ini berasaskan kaedah feqah yang jelas “العبرة بالمسميات لا بالأسماء ” (perumpamaan bagi sesuatu bukan pada namanya). Maksudnya, sesuatu itu bukan dinilai pada nama tetapi yang lebih utama ialah matlamat dan intipatinya.
Rasuah bermakna kita memberikan sesuatu dengan matlamat untuk mendapatkan pulangan atau imbuhan daripada apa yang diberikan itu. Contohnya, kita bagi duit walaupun dinamakan sedekah tapi kalau tujuannya untuk memastikan kita dapat pulangan berbentuk sokongan , maka ia merupakan satu bentuk rasuah yang diharamkan sama sekali.
Pendirian penulis dalam hal ini jelas, tidak kira UMNO mahupun PAS bahawa perbuatan rasuah iaitu menyogok dengan apa kaedah dan cara sekalipun tetap salah di sisi agama. Cuma yang dikesalkan penulis sikap sesetengah pimpinan PAS yang sanggup menjustifikasikan tindakan salah seperti ini dengan memberikan pelbagai hujah berdalilkan ayat-ayat Allah.
Mungkin elok penulis nukilkan amaran keras Allah dalam Al-Quran mengenai perihal orang yang berjual-beli ayat-ayat Allah demi kepentingan tertentu. Al-Quran menyebut: “Celakalah bagi orang-orang yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka lalu mengatakan bahawa ‘Ini adalah dari Allah’ untuk berjual-beli dengan harga yang murah. Celakalah segala perbuatan mereka itu dan hasil daripada perbuatan tersebut” (Al-Baqarah:79).
Justeru, penulis berharap marilah kita sama-sama kembali kepada ajaran Islam sebenar dan membebaskan diri daripada belenggu politik kepartian berteraskan asabiyah jahiliyyah hingga tergamak menggunakan ayat-ayat Allah hanya untuk menjustifikasi tindakan kita dan kelompok kita yang salah. Yang Benar mesti dikatakan benar walaupun kebenaran itu datang bukan daripada puak kita. Begitu juga yang salah mesti dikatakan salah walaupun ia dilakukan oleh puak kita.